Adlin
Minggu kedua Maharaja Lawak Mega (MLM), berlangsung di Royale Theater Selangor, Jumaat malam lalu, membuatkan penonton tidak kering gusi.

Ternyata 17 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, berjaya menunjukkan kehebatan masing-masing, berbanding minggu pertama.

Masih mengekalkan tema bebas, kehadiran Adlin Aman Ramlie, paling menggamatkan suasana dalam dewan. Jika minggu sebelumnya, anak kepada seniman A.R Tompel ini, kurang menyerlah, kali ini dia benar-benar membuktikan kehebatannya sebagai penghibur.

Melakonkan watak wanita India, lengkap bersari, Adlin, begitu mudah membuatkan penonton tercuit hati. Dia juga bijak mengatur jalan cerita dan sangat menjadi menerusi karakter wanita ditinggalkan kekasih.
Kesungguhan Adlin menjayakan watak dan menyampaikan idea dalam jenaka tersebut semakin menyerlah apabila dia sanggup menyanyi dan 'bergelek' ala Bollywood. Secara tidak langsung, pelakon dan pengacara terkenal ini, mudah menguasai jiwa penonton.

Malah persembahannya turut mendapat pujian daripada Chef Wan selaku juri Mega Maharaja Lawak 2011.

“Inilah komedi. Penonton tidak perlu menunggu lama untuk ketawa. Malah saya yakin daripada awal kemunculan awak tadi, penonton sudah mula bersorak dan bertepuk tangan. Apa yang penting mereka ketawa tidak berhenti daripada mula awak masuk sehingga tamat persembahan,” katanya.

Bagaimanapun, kumpulan 3G, yang dianggotai Enot, Yassin dan Didie Alias tidak kurang hebatnya. Ketiga-tiga pelawak tanah air ini turut berjaya membawa watak mereka sebagai guru dan pasangan suami isteri yang baru memasuki kelas memandu. Malah penonton juga kelihatan sangat terhibur dengan persembahan mereka.

Tetapi lain pula nasibnya dengan, Kumpulan Gebu dianggotai Hani dan Azian, kerana persembahan mereka agar hambar. Tiada drama, mahupun lawak jenaka, Gebu hanya mengisi masa dengan nyanyian dan mengundang kebosanan penonton.

Malah ia turut dikritik, Chef Wan, yang nyata kecewa dengan persembahan mereka.

“Saya minta maaf banyak-banyak. Saya memang kecewa dengan kumpulan Gebu. Di sini adalah pentas untuk kita berlawak bukan menyanyi. Saya tidak tahu apa yang mereka sampaikan dan saya yakin penonton juga begitu. Bagaimanapun saya harap mereka dapat memberikan yang terbaik minggu hadapan,” katanya.

Tiada penyingkiran

Sementara itu, Pengurus Saluran Pakej Mustika, Nizam Sani berkata, masih tidak ada penyingkiran malam itu, kerana mengikut format yang ditetapkan penyingkiran hanya berlaku di minggu ketiga.

“Kita akan melakukan penyingkiran sebelum persembahan bagi minggu ketiga dijalankan. Bagaimanapun sesi latihan dan aktiviti mereka berjalan seperti biasa. Mereka perlu bersedia berhadapan dengan keputusan malam itu. Tidak semestinya peserta mendapat undian tercorot akan disingkirkan atau mereka mendapat undian tertinggi akan kekal untuk membuat persembahan malam itu nanti. Pasti ada kejutan. Tunggu dan lihat saja nanti,” katanya.

Sebanyak lima peserta bakal disingkirkan pada minggu ketiga yang bermakna hanya 12 peserta akan tinggal untuk membuat persembahan.

Antara peserta mendapat undian terendah minggu kedua , ialah, Syok(Suhaimi, Ifa Raziah dan Ariff Dudin), Gebu, RAP (Rama,Aziz Kota dan Pak Lah), Lanun (Jegan,Elyas dan Salman), Anje (Achong Sweet Child dan Joey Daud) dan Caer (Adetoe, Mr Ibo dan Decaer).

Seperti minggu pertama, peserta dinilai tiga juri tetap, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Chef Wan dan Zainal Abidin Hassan. Manakala juri jemputan minggu ini ialah, Adi dari kumpulan 6ixth Sense.
Boboi kekal undian tertinggi

Masih mendahului kumpulan lain, Boboi dianggotai Afdlin Shauki, dan Harun Salim Bachik, masih di tangga pertama dengan 61 peratus undian. Diikuti, kumpulan dari Indonesia, Bawel (Dodon Jambul, Amin Suhermin dan Dadang Koswara) dengan 58 peratus undian. Sementara Bawal Power (Bob Kuman dan Sobri) di tempat ketiga dengan 57 peratus undian , Adlin di tempat keempat dengan 57 undian dan Pimai (Imuda, Sathia, dan Mat Over) di tempat kelima dengan 57 peratus undian.