Ibu pasangan kembar siam
SHAH ALAM - Ibu pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad Rosli, Aishah Kandar, 35, meninggal dunia, akibat penyakit barah payu dara di Hospital Putrajaya, semalam.

Ibu saudara pasangan kembar itu, hanya mahu dikenali sebagai Kak Ani berkata, Ahmad dan Muhammad kini memerlukan perhatian lebih, memandangkan ibu mereka telah tiada.

Menurutnya, Allahyar­ham menghembuskan nafas terakhir pada jam 4 pagi di Hospital Putrajaya dan difahamkan penyakit tersebut menjadi parah selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Kami sekeluarga amat terasa pemergian arwah yang banyak berjasa kepada keluarga ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kak Ani berkata, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nelayan Sungai Haji Durani, Sabak Bernam, selepas Solat Zohor.

Allahyarham meninggalkan suami, Rosli Abdul Rahim, 40, dan lima anak termasuk Ahmad dan Muhammad yang kini berusia 13 tahun.

Rosli berkata, beliau akan menunaikan amanah untuk menjaga lima anaknya termasuk Ahmad dan Muhammad sebaik mungkin seperti dilakukan arwah sebelum ini.

“Pesanan terakhirnya ialah supaya saya tabah dalam membesarkan anak-anak. Saya akan ambil semangat isteri yang tidak pernah tunjuk sakit depan anak-anak walaupun beliau menderita kesakitan, termasuk terlantar tidak boleh bergerak sejak dua bulan lalu,” katanya.

Ahmad dan Muhammad mendapat perhatian media kerana dilahirkan bercantum pada dada dan punggung pada 1998, sebelum menjalani pembedahan pemisahan di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi, pada September 2002.

Ahmad, selaku abang sulung kepada adik-adiknya, berkata, dia selalu ingat pesanan arwah ibu supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjaga adik-adiknya.

“Saya sedih sebab ibu pergi ketika Hari Raya Aidiladha, tapi bersyukur kerana sempat bacakan Yasin bersama Muhammad malam tadi.

“Saya bercita-cita menjadi seorang arkitek dan adik (Muhammad) mahu jadi pelukis. Kami akan berusaha mencapai impian seperti janji kami kepada arwah ibu,” katanya.