MAYAT
MUAR - Sambutan Aidiladha bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya di Bukit Pasir pada jam 6.40 pagi di sini, kelmarin.

Mangsa, Hishamuddin Mahmood, 46, dari Kampung Sungai Raya Bukit Pasir, di sini, menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke kilang di Jorak, Bukit Pasir.

Namun, setibanya di tempat kejadian, dipercayai motosikal mangsa cuba membelok ke kanan jalan tetapi merempuh sebuah bas dari arah bertentangan.

Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh dan tercampak sejauh empat meter dari lokasi kejadian.

Mangsa mati serta merta kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan yang lain.

Bagaimanapun, pemandu bas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.