Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Khamis, 8 Disember 2011

Bayi maut tersedak susu...!!!

Kongsi Di Pesbuk Bayi maut tersedak susu

PORT DICKSON – Luluh hati seorang ibu apabila bayi perempuannya meninggal dunia, kira-kira tiga jam ditinggalkan selepas diberikan susu badan, awal pagi semalam.

Nur Syahira Syakira Mohd Juwaidi, 4 bulan, disedari ibunya dalam keadaan berbuih dan tidak bergerak di dalam bilik rumahnya di Taman Desa Rusa, di sini kira-kira 7.30 pagi, dipercayai akibat tersedak susu.

Ibunya, Naysriah Ibrahim, 33, berkata, kira-kira 4 pagi, anaknya itu dibiarkan tidur semula di dalam bilik selepas diberikan susu badan.

Sebaik selesai menyusukan Syahira, katanya, dia pergi ke ruang tamu untuk menyediakan nasi lemak seperti biasa untuk dijual di hadapan rumahnya.

“Kira-kira 6 pagi, saya pergi semula bilik menjenguk Syahira. Ketika itu dia masih nyenyak tidur dan saya tinggalkan dia lagi untuk menyambung kerja.

“Bagaimanapun sekitar 7.30 pagi, saya menjenguknya sekali lagi dan mendapati Syahira dalam keadaan pucat, hidung berbuih serta tidak bergerak,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Mayat Hospital Port Dickson, di sini semalam.

Naysriah berkata, dia yang panik dengan keadaan itu terus memanggil ibu mertuanya yang turut tinggal bersama-sama di rumah, dan meminta anak sulungnya memanggil abang iparnya, Suwardi Mazlan, 35, yang tinggal berhampiran rumah.

Sementara itu, Suwardi berkata, sebaik dimaklumkan tentang kejadian, itu dia bergegas ke rumah Naysriah dan membawa anak saudaranya itu ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

“Syahira disahkan meninggal dunia sebaik sampai di hospital oleh doktor yang bertugas,” katanya.

Jenazah Nur Syahira Syakira dituntut keluarga tengahari semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Pinang selepas solat Asar, semalam.

Difahamkan, Nur Syahira Syakira adalah anak keempat daripada empat beradik dan Naysriah sebelum ini mengalami keguguran anak ketiganya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes terbabit.

Bagaimanapun, katanya, punca kejadian masih dalam siasatan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat Hospital Port Dickson.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com