Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Khamis, 8 Disember 2011

Rambutan jadi modal peragut...!!!

Kongsi Di Pesbuk

KEDAI Som di Kampung Pulau Belanga, Kota Bharu tempat dia diragut kelmarin.


KOTA BHARU – Berpura-pura membeli buah rambutan sebelum meragut rantai leher dipakai peniaga kedai runcit di Kampung Belanga dekat sini kelmarin.
Demikian taktik dua lelaki yang menyebabkan peniaga itu kerugian hampir RM12,000 apabila rantai leher emasnya dilarikan pada pukul 8.15 malam.
Akibat kejadian itu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Som, 47, turut calar dan sakit di leher selepas bergelut dengan salah seorang peragut itu.
Selain rantai leher Som, seorang pelanggan yang membeli barang di kedai runcit mangsa juga kehilangan beg tangan berisi telefon bimbit selepas diragut penjenayah sama.
Cerita Som, kejadian berlaku ketika dia bersendirian di dalam kedai sebelum menyedari kehadiran sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna perak yang dinaiki tiga lelaki.
Menurutnya, dua lelaki keluar dari kereta tersebut dengan salah seorang masuk ke dalam kedainya dan membeli gula-gula.
Seorang lagi berada di luar kedai manakala lelaki ketiga menunggu dalam kereta.
“Selepas lelaki itu membeli gula-gula, lelaki yang berada di luar masuk dan bertanyakan harga buah rambutan sebelum dia mendekati saya lalu menarik rantai leher saya.
“Saya bergelut sambil menjerit meminta tolong suami yang ketika itu berada di dalam rumah,” kata Som ketika ditemui di kedainya di sini semalam.
Selepas hampir lima minit bergelut, lelaki terbabit berjaya melarikan rantai lehernya sebelum suspek sama turut meragut beg tangan pelanggannya yang sedang memilih sayur.
Katanya, sebaik suaminya turun ke kedai, ketiga-tiga lelaki tersebut telah melarikan diri.
Som membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu kira-kira setengah jam selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan kejadian itu dan memberitahu polis melancarkan gerakan memburu tiga lelaki terbabit termasuklah seorang daripada suspek itu telah dikenal pasti.
Namun kata beliau, sehingga petang semalam belum ada tangkapan.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com