Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Ahad, 14 Oktober 2012

Gedik Lala berkualiti tinggi

Kongsi Di Pesbuk


USAH dipersoal lakon drama Wan Sharmila Wan Muhamad yang cuba menempatkan diri dalam kategori pelakon kelas A. Bunga yang mesra disapa Lala itu masih menanti untuk diangkat namanya. Bijak berlakon, bijak juga dia menjaga tingkah.
Lala yang bebas cerita hangat, banyak berkerja untuk memperbaiki kualiti lakonannya. Hanya yang terbaik menjadi tatapan orang sekeliling, tetapi sekali sekala dia turut dikritik pemerhati industri gara-gara gaya seksinya.
Kata Lala, dia sudah lupa berapa bilangan drama yang pernah dilakonkannya.
"Sudah lima tahun saya terlibat dalam dunia lakonan. Berapa bilangan drama pun saya tidak pernah kira. Mungkin sepuluh, 20 atau lebih dan judulnya ada yang saya terlupa," ungkap Lala jujur.
Jenuh Lala mengisi portfolio dirinya yang semakin menebal, namun variasi profil lakonannya tidak banyak. Jika tidak ditawarkan watak gedik, pasti wajahnya terlihat dalam karakter jahat atau sisi gelap yang hitam permainannya. Jarang sekali dia diberi peranan wanita baik.
Mahu jadi bisu
Antara senarai judul yang masih melekap termasuklah drama Tari Tirana, Sindarela, Tipah Vavavoom, Emil Emilda, Sutun, Rona Roni Makaroni, Nora Elena dan Si Jundai.
Terdetik juga rasa muak dalam hati anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu tatkala diberikan watak sama. Namun dek semakin sebati dengan aksi sebegitu, Lala menganggap ia sebagai satu kelebihan pula buat dirinya.
"Walaupun usia sudah menjangkau 31 tahun, saya masih lagi diberikan watak-watak orang muda. Watak gedik, penggoda dan antagonis seakan sebati dengan saya.
"Dahulu pernah juga terasa bosan dengan watak sebegitu. Tapi kini saya sudah sedar bahawa semua itu adalah rezeki yang tidak boleh ditolak. Itu adalah kelebihan sebenarnya.
"Kalau boleh saya mahu melakonkan watak seorang wanita bisu yang teraniaya. Tetapi dalam masa yang sama dia adalah seorang yang jahat. Masih menunggu juga kalau ditawarkan watak sebegitu," katanya dalam karakter sedikit serius.
Berdiam diri dan membuka hati adalah lebih baik baginya apabila sering diberikan rezeki menggalas watak sama. Juga jauh di sudut hatinya untuk melihat aksi sendiri di layar lebar pula. Kini ungkapan dalam hatinya itu seolah-olah sudah kedengaran.
Biarpun sudah lama menunggu, tetapi senyuman Lala kini semakin melebar apabila bakal muncul dalam sebuah filem genre seram arahan Faizul A. Rashid yang berjudul Bisikan Syaitan.
Lala kini sedang menghitung hari menunggu filem itu ditayangkan pada tanggal 25 Oktober ini. Hatinya sudah bergejolak mahu melihat aksi sendiri yang lain berbanding biasa itu.
"Syukur Alhamdulillah kerana inilah masa yang saya tunggu-tunggu untuk berlakon dalam filem pula. Ini dikira kejayaan baharu juga buat saya.
Perjanjian syaitan
"Kali ini saya menghidupkan karakter Kamila. Dia seorang gadis yang baik, banyak berfikir tetapi pasif. Dia menjadi mangsa kepada perjanjian abangnya, Kamil (Fizz Fairuz) dengan kuasa jahat.
"Pendek kata, tak ada babak yang menggembirakan pun dalam filem ini. Hampir kesemuanya tentang kesedihan Kamila. Itu cukup mencabar bagi saya," ujarnya.
Filem terbitan Lightbulb Pictures itu turut menampilkan pelakon hebat lain termasuklah Nabila Huda, Fizz Fairuz dan Azam Pitt.
Bisikan Syaitan dianggap filem pertamanya biarpun pernah muncul dalam beberapa babak dalam naskhah berjudul Raya Tak Jadi sebelum ini.
Menerima segalanya sebagai takdir untuk dirinya, Lala tidak merungut soal rezeki. Apa yang penting dia mahu terus bekerja dalam bidang yang diminatinya itu.
Sedikit merendah diri, kata Lala, penampilannya mungkin tidak menepati spesifikasi berlakon filem.
"Saya positif sahaja dan tak mahu fikir kenapa tidak ditawarkan berlakon dalam filem. Mungkin wajah saya tak cukup eksklusif untuk filem.
"Saya terima jika itu kekurangan buat saya kerana saya ada kelebihan lain kerana niat utama saya ialah untuk mencari rezeki," katanya yang bakal muncul dalam drama Spy M, slot aksi di TV3.
TIDAK mahu merungut soal rezeki, pelakon berstatus janda muda ini tidak berkira dengan apa jua karakter yang ditawarkan untuknya. Berilah watak gedik, penggoda mahupun antagonis, dia susah sebati dengan watak-watak menjengkelkan itu.


Kalau berbicara soal kerja dengan Lala, ternyata banyak isi yang mahu diluahkan sehingga terlupa untuk bertanya cerita lain yang lebih sensasi.
Kisah gaun kuning sendat dan singkat yang pernah dikenakan ketika terlibat dalam drama bersiri Tari Tirana pernah menjadi bahan bualan peminat.
Tidak lupa juga cerita rumah tangganya yang dibina dengan pemilik Radius One, Fazli Baharom sejak 2007 berakhir tiga tahun kemudian. Secebis kisah hidupnya itu ditelan bulat-bulat. Tidak banyak cerita, Lala bijak membiarkan kisah itu sejuk begitu sahaja.
Berlakon sudah berpuluh-puluh judul, tetapi namanya tidak timbul-timbul. Kalau satu persatu nama baharu mula menyerlah dek cerita sensasi dan murahan, Lala selesa untuk menjaga namanya.
Menolak menggunakan sifir untuk terkenal dengan mencipta cerita murahan, Lala sebaliknya sedaya upaya mengelak kisah sebegitu, namun tidak bermakna dia mengelak banyak permintaan wartawan.
"Bukan saya pinggirkan diri daripada wartawan, cuma tiada apa yang sensasi dan menarik tentang diri saya untuk ditulis.
"Kalau sesetengah artis lain berfikiran cerita kontroversi boleh bikin cepat popular, tetapi bukan diri saya untuk buat kecoh. Lagi pun saya tidak reti membuat kontroversi
"Mungkin cara ini akan membuatkan saya kekal begini, tetapi sekurang-kurangnya sampai hari ini rezeki saya tidak pernah putus," katanya menutup sementara bibirnya yang petah menyusun kata-kata.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com