Penyanyi dan pelakon
jelita, Erra Fazira akui terkilan melihat perjalanan kerjaya nyanyian
bekas protegenya dalam program realiti Mentor musim kelima, Salma atau
Salmah A. Asis yang agak perlahan selepas menjuarai program tersebut.
Malah, dia berkata Salma sepatutnya berjumpa dengan orang yang tepat
untuk membawanya melangkah jauh serta mengatur kerjaya juga namanya yang
sudah dibina sejak menjuarai Mentor musim kelima itu.
"Selepas sahaja habis Mentor 5, saya ada menawarkan diri untuk
membantunya serta menguruskan kerjayanya sebagai seorang penyanyi. Namun
Salma menolak kerana mahu membawa haluan sendiri.
"Tapi sehingga kini, saya agak kecewa apabila melihat keadaanya yang
masih terumbang-ambing membawa haluan diri sendiri dalam bidang ini.
"Sayang juga dengan nama yang telah ditempanya sebagai seorang juara.
Bagi saya, juara bukanlah tiket untuk dia berjaya dalam bidang nyanyian
kerana dia perlu banyak usaha lagi untuk kekal dalam indusrti ini.
"Saya pasti dia boleh pergi jauh jika dia dapat berjumpa dan dibawa
oleh orang yang benar-benar tahu mengenai selok-belok industri muzik
ini.
"Walau bagaimanapun, sebagai bekas mentornya saya masih lagi terbuka
untuk membantu sekiranya dia meminta pertolongan daripada saya," katanya
selepas sidang media Pilih Kasih 3, petang semalam.
Selepas menjuarai Mentor 5, Salma membuat keputusan untuk tidak
mengambil mana-mana pengurus untuk mengurus kerjayanya sebaliknya
bergerak sendiri.
Sungguh pun begitu, Erra Fazira masih berharap agar Salma lebih bijak
mengatur kerjayanya dalam bidang nyanyian supaya dia berpeluang kekal
lama dalam industri sebaris dengan artis realiti yang sudah berjaya
lain.
"Saya lihat Salma masih mencari identitinya sendiri. Saya takut dia
tersalah memilih identiti atau genre muzik untuk dipersembahkan.
"Saya tahu, dia sukakan muzik rock dan cuba untuk membawa identiti
rock. Tapi sayang orang lebih suka melihatnya membawakan lagu pop dan
balada.
"Tidak salah memilih genre muzik yang kita suka. Tetapi apa yang
penting untuk bertapak dalam industri muzik, pertama sekali dia perlulah
mengutamakan kemahuan peminat pada waktu itu.
"Bila kita sudah benar-benar dapat menempa nama dalam idusrti, barulah
seseorang artis itu berpeluang untuk memilih muzik yang dia suka kerana
waktu itu dia sudah ada pengikutnya sendiri," luah Erra Fazira lagi.
Erra Fazira yang selesa bergerak sebagai juri bakal menjadi pembimbing
dan juri untuk program realiti Pilih Kasih musim ketiga bersama
penerbitanya, Rosyam Nor.
0 ulasan: