RANAP...tapak pembinaan pusat beli-belah yang runtuh, semalam. |
KUALA LUMPUR: “Ketika sibuk menyapu di pintu masuk, secara tiba-tiba saya terdengar satu dentuman kuat diikuti bunyi kecoh dari arah tapak pembinaan bersebelahan KL Sentral,” kata pekerja pembersihan, Adrasyid, 37, ketika ditemui wartawan Harian Metro di KL Sentral, di sini, semalam.
Sejurus terdengar dentuman pada jam 11 pagi itu, saksi berkenaan bergegas ke bahagian luar bangunan untuk melihat kejadian dan mendapati berlaku runtuhan di tapak pembinaan pusat beli-belah kira-kira 50 meter dari KL Sentral.
Dalam kejadian itu, satu bahagian pelantar di tapak pembinaan berkenaan runtuh menyebabkan seorang pekerja warga Bangladesh berusia 35 tahun terjatuh dari ketinggian empat meter sebelum terperangkap di bawah timbunan konkrit.
Difahamkan, pekerja berkenaan menyapu konkrit di pelantar berkenaan dan tidak sempat menyelamatkan diri sebelum beberapa pekerja lain yang menyedari insiden terbabit memberi bantuan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata pasukan bomba dan penyelamat yang tiba sebaik mendapat laporan kejadian membawa keluar mangsa pada jam 11.20 pagi.
“Berdasarkan pemeriksaan, konkrit di pelantar berkenaan dipercayai belum kukuh dan siap sepenuhnya menyebabkan berlaku runtuhan.
“Ketika melakukan kerja berkenaan, mangsa lengkap memakai alat keselamatan termasuk topi keselamatan bersama sembilan pekerja lain.
“Bagaimanapun, tahap kecederaan mangsa belum dapat dipastikan dan dia sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Laporan awal menyatakan mangsa cedera ringan pada bahagian luaran, namun pemeriksaan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat kecederaan dalaman.
Menurut Wan Abdul Bari, pihaknya sudah memberi arahan kepada pekerja untuk mengosongkan tapak berkenaan dan menghentikan seketika proses pembinaan sehingga pemaju memberi kebenaran memulakan semula kerja.
Menurut Wan Abdul Bari, pihaknya sudah memberi arahan kepada pekerja untuk mengosongkan tapak berkenaan dan menghentikan seketika proses pembinaan sehingga pemaju memberi kebenaran memulakan semula kerja.
0 ulasan: