ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat salah seorang mangsa yang rentung dalam kemalangan di Rembau, Negeri Sembilan semalam. |
Kejadian pukul 8.50 pagi di Kilometer 16, Jalan Seremban-Tampin di sini itu mengakibatkan P. Mugunthan, 42, dan isterinya, K. Jothi, 36, rentung manakala dua anak lelaki mereka, M. Visagaran, 14, dan M. Sreekhantuun, 10, cedera parah.
Difahamkan, keluarga Jothi tidak membuat sebarang persiapan menyambut Deepavali kerana masih berkabung atas kematian bapa saudara dan sepupu mereka akibat sakit beberapa bulan lalu.
Sebelum kejadian, empat beranak itu dalam perjalanan ke Palong, Jempol dari Taman Seremban Jaya, Seremban bagi melawat saudara-mara Mugunthan.
Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Honda City yang dinaiki empat beranak itu bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan sebelum kereta mangsa terbakar.
Katanya, sebuah kereta jenis Toyota Camry yang berada di belakang kereta mangsa turut melanggar kenderaan empat beranak tersebut selepas gagal menekan brek. Pemandu kereta itu tidak cedera manakala pemandu Proton dikejarkan ke hospital.
“Polis masih menyiasat bagaimana kereta tersebut boleh bertembung hingga mengakibatkan kemalangan ngeri,” kata jurucakap itu lagi.
Tambahnya, dua anak mangsa sempat dibawa keluar oleh orang ramai yang melalui jalan tersebut tetapi pasangan suami isteri itu tersepit dan gagal ditarik.
Menurut jurucakap itu, dua beranak yang diselamatkan sempat melihat ibu bapa mereka terbakar sebelum kedua-duanya pengsan lalu dibawa ke hospital.
Seramai 14 anggota dan tiga buah jentera bomba dari Senawang, Seremban 2 dan Rembau dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran serta mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah memberitahu pihaknya masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu.
Dalam pada itu, adik Jothi, K. Vishnu, 28, memberitahu, keluarga kakaknya tiba di rumah ibunya di Seremban dari Skudai, Johor sejak Sabtu lalu sempena cuti Deepavali.
Katanya, sepanjang berada di Seremban, empat beranak itu tidak menunjukkan perangai pelik tetapi gembira kerana dapat berjumpa dengan adik-beradik yang lain walaupun masih berkabung.
“Kami jarang berjumpa kerana kakak menetap bersama suaminya di Skudai dan hanya pulang ke Seremban apabila cuti.
“Mereka sekeluarga sebenarnya mahu melawat abang Mugunthan yang tinggal di Palong tetapi hajat mereka tidak kesampaian,” ceritanya sedih.
0 ulasan: