BAGAIKAN masih di dalam rahim ibu, pasangan kembar Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq Hashim masing-masing 15 tahun seolah-olah tidak dapat dipisahkan.
Keakraban kedua-dua beradik ini mungkin terbawa-bawa kerana mereka pernah berkongsi rahim yang sama 15 tahun lalu.
Benarlah kata pepatah, pasangan kembar mempunyai naluri yang kuat antara satu sama lain. Namun, Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq bukan sekadar berkongsi naluri yang sama seperti pasangan kembar lain, sebaliknya mereka berkongsi 'derita' yang sama.
Kedua-duanya menghidap penyakit tulang rapuh (soft bone) yang dikesan ketika masih bayi iaitu sekitar 18 bulan dan baru belajar bertatih.
Akibat penyakit tersebut, bahagian betis mereka tidak sempurna sifatnya kerana ia membengkok seakan-akan akar pokok kerana terlalu kerap patah.
Kesannya, tumbesaran remaja tersebut terjejas. Pada masa yang sama mereka tidak dapat bergerak aktif kerana khuatir tulang mereka patah jika terlanggar tunggul kayu ataupun anak tangga.
Setiap langkah yang diatur perlu berhati-hati kerana jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibatnya. Lebih perit, kecederaan tersebut mengambil masa yang lama untuk pulih iaitu antara dua hingga tiga bulan.
Bukti episod kesakitan anak keenam dan ketujuh daripada lapan beradik itu dapat dilihat melalui kesan patah kerana struktur kaki mereka menjadi pipih persis akar kayu.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah pepatah yang paling tepat menggambarkan keadaan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Serating, Merchang, Marang, Terengganu itu kerana penyakit mereka belum ada penawarnya.
"Setiap kali ingin berjalan, saya perlu berhati-hati bagi mengelakkan daripada tulang saya patah akibat terlanggar sebarang objek," kata Mohd. Syafiq ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Bagi Fatihah pula, sebiji bantal terpaksa digunakan bagi memudahkannya mengesot untuk bergerak memandangkan kakinya sudah patah lebih 20 kali sekali gus menyebabkan dia tidak boleh berjalan.
Sungguhpun begitu, dalam keadaan fizikal yang membataskan mobiliti, kedua-dua beradik ini menjadikan kerusi roda sebagai peneman setia ketika berada di luar rumah untuk ke sekolah bagi meneruskan rutin harian mereka.
Tidak seperti rakan-rakan lain yang gemar bergaul sesama rakan sebaya lain, sebaliknya berlaku kepada Fatihah mungkin kerana kekurangan yang ada pada dirinya.
Patah kaki
Situasi yang berbeza dapat dilihat pada Mohd. Syafiq yang mengalami patah kaki kanan kerana dia agak aktif walaupun dengan pergerakan yang terbatas.
"Kali terakhir kaki saya patah ialah pada pertengahan tahun 2009 ketika bermain.
"Saya kemudiannya dirawat selama seminggu di hospital dan tidak ke sekolah selama dua bulan," ujarnya.
Fatihah yang kini terpaksa bergantung dengan kerusi roda kali terakhir mengalami nasib yang sama kira-kira empat tahun lalu. Namun nasibnya tidak sebaik Mohd. Syafiq kerana kedua-dua kaki Fatihah patah menyebabkan dia tidak boleh berjalan.
Penyakit yang diwarisi daripada bapa mereka, Hashim Omar, 54 turut dialami oleh salah seorang abang mereka, Asrul, 22. Namun, lima lagi adik-beradik yang lain bernasib baik kerana mereka bebas daripada penyakit tersebut.
"Kini, Asrul sedang mengikuti kursus jahitan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tabah dengan dugaan ini, Nurul Fatihah dan Mohd. Syafiq saling menjaga satu sama lain apabila seringkali dilihat bersama di sekitar rumah mereka di Perkampungan Orang Kelainan Upaya (OKU), Pulau Kerengga, Marang.
"Sudah banyak ikhtiar dilakukan untuk mengubati penyakit anak-anak saya, namun doktor memberitahu penyakit mereka tidak boleh diubati.
"Saya juga hairan kenapa saya dan anak-anak terkena penyakit ini sedangkan ahli keluarga saya termasuk datuk dan saudara-mara lain tidak mengalaminya," kata Hashim.
Sungguhpun begitu, Hashim menerima keadaan tersebut sebagai ujian daripada Allah. Menurutnya, tidak ada apa yang perlu dikesali mereka walaupun tidak sempurna.
"Saya bersyukur dengan keadaan ini kerana yakin ada hikmah di sebaliknya. Saya juga bernasib baik kerana isteri, Nurzaimah Husin, 47, tetap setia bersama-sama menghadapi dugaan ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Syafiq sangat positif meskipun sedar dengan kekurangan yang ada pada dirinya.
"Saya ada ramai kawan dan mereka sudi bermain dan bantu saya," katanya.
0 ulasan: