KONSERT Search Fenomena 30 Tahun Search yang berlangsung di Pusat Konvensyen Mines, Seri Kembangan (MIECC) Sabtu lalu boleh dianggap konsert yang terbaik daripada Search.
Impak kerana terlalu ramai yang ingin menonton konsert Search, kesesakan lalu lintas telah bermula daripada plaza tol Seri Kembangan lagi, perjalanan daripada plaza tol ke MIECC yang mengambil masa lima minit pada hari biasa telah mengambil masa selama hampir satu jam.
Itu petanda awal kejayaan konsert itu. Buktinya, masuk sahaja ke dalam MIECC, segera terserlah visual lautan manusia menanti kemunculan aksi Search.
Menurut pihak penganjur, konsert itu mencatat kejayaan luar biasa dengan mengumpul 15,000 penonton meskipun telah beralih lokasi atas faktor cuaca dari Padang Astaka Petaling Jaya ke MIECC.
Malah, tiket yang berharga RM69 juga dikatakan hampir habis apabila orang ramai berpusu-pusu membeli tiket pada saat-saat akhir. Search yang dianggotai oleh Amy selaku vokal, Kid (gitar), Din (gitar), Nasir (bass) dan Yazid (dram) ternyata cukup gembira dengan sambutan yang diberikan oleh peminat setia mereka.
Amy juga dilihat gagal mengawal emosinya dan hampir menitiskan air mata jantannya sewaktu menyanyikan lagu terakhir Fantasia Bulan Madu.
“Memang kami semua secara peribadi sangat gembira apabila berjaya meraikan ulang tahun ke-30 Search dengan melangsungkan konsert di tiga lokasi yang berbeza di Semenanjung Malaysia. Satu pengalaman yang sangat manis buat Search.
“Sebenarnya memang saya hampir mengeluarkan air mata pada lagu terakhir kerana perasaan bercampur baur. Gembira kerana kami berjaya melangsungkan konsert yang menjadi idaman kami selama ini serta sokongan peminat, sedih kerana pejam celik, sudah 30 tahun kami di sini.
“Selepas ini tidak tahu, bila lagi kami akan membikin konsert seperti ini. Konsert ini merupakan hadiah buat diri kami juga hadiah buat peminat Search. Memang ini konsert terbaik Search,” kata Amy pada sesi sidang media usai konsert berakhir.
Cuci darah
Sepanjang konsert yang berdurasi tiga jam bermula pada pukul 9.10 malam dengan dendangan sebanyak 26 buah lagu terbaik Search termasuk Isabella, Fenomena, Pemuzik Jalanan dan Panggung Khalayan, masa dirasakan berlalu dengan begitu pantas. Tidak ada sekelumit rasa bosan menerjah diri, setiap lagu didendangan oleh Amy turut dinyanyikan bersama oleh peminat yang menghafal setiap bait lirik dengan tepat.
“Kalau ikutkan saya tidak jangka konsert ini akan mengambil masa selama tiga jam. Jika kami masukkan semula lagu, durasi tiga jam tidak akan cukup. Jadi, lagu yang dipilih semuanya lagu terbaik Search dan merupakan pilihan yang tepat,” balas Amy yang memberitahu Search kini dalam proses pembikinan album terkini serta filem pertama mereka berjudul Search: Meniti Titian.
Amy bijak mengawal pentas dan penonton, namun dia hampir terjatuh akibat tersadung ketika menyanyikan lagu Isi Atau Kulit, tetapi nasib baik dia masih sempat mengimbangkan dirinya dan meneruskan nyanyian seperti biasa.
Pemain dram, Yazid Ahmat, 49, yang menghadapi masalah kesihatan seperti buah pinggang dan darah tinggi dilihat memberi persembahan yang cukup mengkagumkan meskipun dia menerima rawatan dialisis setiap minggu untuk mencuci darah.
“Saya main dram macam biasa, Alhamdulillah kesihatan mengizinkan. Saya mendapat sokongan yang bagus daripada krew pentas, jika tidak saya tidak mampu bertahan selama tiga jam. Ini merupakan momen terbaik Search dan saya tidak mahu ketinggalan,” kata Yazid.
Tidak hanya vokal Amy yang kedengaran pada malam konsert itu, kerana sifu Datuk M. Nasir berduet dengan Search menerusi tiga buah lagu iaitu Mat Rock, Paranoid dan Meniti Titian Usang.
Dua buah lagu, Mat Rock dan Paranoid itu cukup rancak dan rock habis dilihat tidak kena gayanya apabila dinyanyikan oleh M.Nasir. Mungkin satu eskperimen yang dicuba mereka, namun hakikatnya, M.Nasir tenggelam di sebalik kelantangan vokal Amy.
“Kami jarang buat persembahan bersama, apabila diberi peluang ia merupakan satu penghormatan. Sejak mereka merancang konsert ini, Amy sudah beritahu untuk menyanyi bersamanya dan lagu dipilih oleh Search sendiri.
“Sepatutnya key lagu itu direndahkan sedikit, suara saya tidak sampai kerana ia lebih kepada suara bass, apa pun saya cukup gembira bersama-sama meraikan ulang tahun ke-30 Search,” tutur M. Nasir.
M.Nasir yang merupakan pencipta lagu Fantasia Bulan Madu itu menegaskan tiada band lain sezamannya yang mampu menandingi fenemona yang dicetuskan oleh band Search.
“Search sebuah band yang hebat. Ada banyak band yang seangkatan mereka sudah hilang populariti, malah ada yang sudah tidak aktif tetapi Search masih berdiri di sini, malah populariti mereka masih sama seperti dahulu.
“Daya ketahanan mereka cukup utuh. Tidak semua mempunyai tarikan untuk penonton datang menonton konsert secara berbayar. Search mempunyai tarikan itu, lihat sahaja jumlah penonton yang datang hari ini, itu sudah membuktikan di mana tahap Search hari ini,” ucap M. Nasir.
Konsert yang turut dihadiri ramai artis tanah air seperti Aizat, Altimet, Six Sense, AC Mizal, Ella, dan Hasnol Rahmat.
Sebelum menggegarkan MIECC, Search terlebih dahulu menghiburkan peminatnya di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang (19 November) dengan jumlah penonton seramai 7,000 orang dan Stadium Larkin, Johor Bahru (3 Disember) dengan penonton seramai 10,000 orang.
Selepas berakhirnya konsert Fenomena 30 Tahun Search di Semenanjung Malaysia, Search akan muncul untuk konsert di dua lokasi iaitu di Kompleks Sukan Tawau, Sabah pada 24 Disember dan Stadium Negeri Kuching, Sarawak pada 31 Disember depan.
0 ulasan: