Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Jumaat, 30 Disember 2011

SPEKULASI KIAMAT PADA PERTENGAHAN RAMADHAN 2012...!!!

Kongsi Di Pesbuk

Mengikut kalendar 2012, awal Ramadan ialah pada 20 Julai iaitu hari Jumaat dan 15 Ramadan juga, hari Jumaat. Hadis Rasulullah SAW ada menyebut mengenai huru-hara besar yang akan berlaku pada tengah malam pertengahan Ramadan iaitu pada Jumaat 15 Ramadan. 

Itulah yang heboh disebarkan dan fakta dikuatkan oleh hadis, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau dalam laman sosial Facebook sejak tiga tahun lalu dan berulang lagi tahun ini walaupun sudah ada penjelasan diberikan pihak berwajib.

Jabatan Mufti Perlis yang turut menerima pertanyaan orang ramai mengenai maklumat dan hadis berkenaan memberitahu, hadis itu tidak sahih dan tidak boleh dijadikan hujah bahkan ia adalah hadis yang terlalu lemah atau palsu.

Perkara ini tidak menghairankan kerana sudah banyak maklumat mengenai huru-hara atau dunia akan berakhir pada 2012 disebarkan termasuk yang dikaitkan dengan tarikh tepat dalam kalendar suku Maya yang dijumpai di bawah runtuhan di Mexico iaitu kiamat bakal berlaku pada 21 Disember 2012.

Ditambah pula dengan sogokan daripada filem Hollywood yang memaparkan dunia akan kiamat seperti filem 2012, Armageddon atau Deep Impact. Semua cereka sains itu menunjukkan keadaan kacau bilau dan bencana yang berlaku di seluruh dunia menjelang kiamat.

Masih ada yang terpengaruh dengan tukang ramal seperti Nostradamus yang turut meramalkan dunia akan berakhir pada 2012. Beliau sebelum ini pernah meramalkan bahawa dunia akan berakhir pada 1999. 

Satu lagi yang mengaitkan dunia akan berakhir tahun depan dibuat penulis Bible Code iaitu Michael Drosnin yang mendakwa Bible Code adalah siri wahyu awal menggunakan teks Hebrew. Bible Code menyatakan bumi akan dilanggar meteor atau komet pada 2012.


Malah, jika diperhatikan sekarang ini di Barat ada gereja dan kumpulan tertentu yang berkempen di jalan raya mengingatkan orang ramai bahawa dunia akan kiamat tahun depan.

Agensi Angkasa Amerika Syarikat (NASA) juga dikatakan sudah mengesan sebuah planet yang mereka namakan Nibiru atau planet X, dilaporkan akan melalui kawasan berhampiran bumi.

Sesungguhnya, kiamat pasti datang dan beriman kepada Hari Kiamat satu daripada Rukun Iman. Allah SWT berfirman bermaksud:
“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi.” (Surah al-Baqarah ayat 177)
Al-Quran menjelaskan mengenai kedatangan kiamat sama ada secara uslub bayani (penjelasan) atau khabar mujarrad (berita murni tanpa tambahan). Ada kalanya Allah meyakinkan terjadinya kiamat dengan penekanan kepada huruf taukid yang berfungsi untuk menguatkan seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya hari kiamat itu akan datang.” (Surah Taha ayat 15)
Muhammad SAW dan malaikat paling hampir dengan Rabbul ‘Izzah iaitu Jibril tidak mengetahui dan tidak diberi ilmu untuk menyatakan tarikh sebenar kiamat. Apa lagi kita sebagai umat Muhammad SAW. 
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Telah dekat (datangnya) saat itu dan itulah terbelah bulan.” (Surah al-Qamar ayat 1)
Diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku diutus sedang kiamat seperti kedua anggota ini (dan Baginda memberi isyarat dengan kedua jarinya lalu memanjangkannya).”
Bukan sekarang saja, tetapi sejak zaman Rasulullah lagi ramai sahabat sering bertanya kepada Baginda waktu datangnya kiamat sehingga datang jawapan daripada Allah SWT menerusi firman yang bermaksud:
“Manusia bertanya kepadamu mengenai hari berbangkit, katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari berbangkit itu hanya di sisi Allah. Dan tahukah kamu (hai Muhammad) boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.” (Surah al-Ahzab, ayat 63)
Antara tanda kiamat antaranya muncul Dajjal pendusta, diangkat ilmu, banyak gempa bumi, cepatnya waktu berjalan, banyak fitnah, banyak pembunuhan, harta melimpah-limpah hingga tiada orang menerima sedekah atau zakat sehingga matahari terbit daripada tempat tenggelamnya dan turunnya Nabi Isa.


Banyak tanda kiamat yang telah terjadi seperti Nabi Muhammad SAW yang diutuskan dan kewafatan Baginda. Selain itu ada juga tanda kiamat yang masih berlaku atau sudah berlaku dan mungkin akan berulang lagi termasuk penaklukan serta peperangan.

Berbalik kepada 3 Ogos 2012 bersamaan 15 Ramadan yang jatuhnya pada Jumaat, ia sudah kerap berlaku antaranya pada 15 Ramadan 1300H/1883M; 1891M/1308H; 1899M/1316H; 1906M/1324H dan 1914M/1332H. Juga berlaku pada tahun 625M bersamaan 3 Hijrah; 632M/11H; 637M/16H; 640M/19H dan 645M/24H.

Hendaklah kita berserah diri kepada Allah setiap masa dan memohon kepada-Nya supaya dilindungi daripada sebarang bahaya makhluk sama ada yang nampak atau tidak serta tergolong dalam kalangan mereka yang amalan dan timbangan kebaikan lebih berat di akhirat kelak.

Jika pada masa lalu kita banyak melakukan kesilapan dan meninggalkan ibadah wajib, maka mulai sekarang berusahalah tidak mengabaikan perintah wajib selain memperbanyakkan amalan sunat.  

Umat perlu tambah amal, henti spekulasi 


1 ulasan:

obat tradisional alami berkata...

mari kita bertobat,,,sebelum dunia akan berakhir,,,

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com