|
MAFIZUR JAMADAR seperti lelaki-lelaki lain yang terdesak di India. Negaranya yang mundur menyebabkan rakyat di negara itu sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup.
Di kampungnya di Garijala, Sangrampur yang terletak di Bengal Barat, Jamadar sukar memperoleh pekerjaan. Lantas, dia memutuskan untuk bekerja di Kolkata yang jaraknya kira-kira 30 kilometer (km) dari kediamannya.
Setiap hari, dia akan menaiki kereta api ke sana. Sebaik habis waktu kerjanya, dia tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya, Jamadar akan singgah di salah sebuah kedai samsu haram yang tumbuh melata di Bengal Barat.
Dia cuma perlu membayar 60 sen untuk mendapat seliter samsu haram. Namun, rutin Jamadar berakhir Selasa lalu. Kelibat lelaki berumur 30 tahun itu langsung tidak kelihatan.
Ibu Jamadar bagai sukar menerima hakikat melihat sekujur tubuh anaknya yang tidak bermaya di sisinya. Ratapan wanita itu semakin sukar dikawal apabila dia bersama cucu-cucunya terpaksa menunggu giliran untuk mengebumikan Jamadar.
“Dia (Jamadar) sampai di rumah seperti biasa, makan dan kemudian masuk tidur. Hari esoknya, dia muntah dan rasa pening. Kami bawa dia ke hospital di Diamond Harbor. Dia kemudian dipindahkan ke Kolkata tapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” imbasnya pada satu wawancara dengan BBC News baru-baru ini.
Itu merupakan salah satu kisah sedih mangsa arak beracun di Kolkata. Namun, atmosfera di Bengal Barat sejak minggu lalu sangat genting dan menakutkan.
Tangisan mendominasi pendengaran. Mayat mangsa yang ditampal pelekat nama pada dahi terdampar di pekarangan hospital. Lebih meruntun perasaan, sesetengah kampung tidak cukup kakitangan untuk membakar mayat..
Hospital di Kolkata menjadi kelam- kabut. Rumah sakit itu dilaporkan telah kehabisan ubat-ubatan hingga terpaksa meminta waris mangsa membeli ubat di luar.
Salah seorang kakitangan hospital, Chiranjit Murmu memberitahu, terdapat ramai lagi mangsa yang mati di rumah tetapi tidak dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.
“Di kampung-kampung pula ada yang takut pergi hospital gara-gara takut ditangkap polis kerana membeli samsu haram,” keluh seorang lelaki tua.
Murah
Setakat artikel ini ditulis, kematian akibat keracunan samsu haram beracun mencecah sehingga 170 orang. Pihak berkuasa telah menjalankan tangkapan dan memusnahkan berdozen-dozen kilang penyulingan di lebih 10 buah kampung.
Antara perkampungan yang terbabit ialah Sangrampur, Magrahat, Usthi dan Mandirbazar yang terletak di daerah South 24 Parganas di Bengal Barat.
Angka itu dipercayai akan meningkat, beritahu Pengarah Kesihatan Bengal Barat, Shyamapada Basak.
Rentetan itu, Pengarah Besar Polis Bengal Barat, Surojit Kar Purokayashta mengisytiharkan perang besar-besaran ke atas dalang di sebalik industri pembuatan samsu haram ini. Polis kata Purokayashta, telah menahan 12 suspek setakat ini.
“Kita sedang menjejak lelaki yang bernama Khonra Badsha. Dia dikatakan orang kuat di sebalik penjualan arak palsu di negeri ini sini,” katanya.
Agensi berita AP melaporkan, kebanyakan mangsa merupakan penduduk miskin yang bekerja sebagai buruh kasar harian, penjaja jalanan dan pemandu lanca.
Bengal Barat yang bersempadan dengan negara Bangladesh dan mempunyai 19 daerah dihuni kira-kira 91 juta penduduk. Negeri ini kaya dengan hasil pertanian tetapi sebahagian besar rakyatnya tidak berpelajaran dan hidup melarat.
Kemiskinan yang memberi tekanan ekonomi telah mendorong penduduk di kawasan setinggan dan luar bandar menghidupkan industri samsu haram. Lebih malang, ia bukan sahaja beroperasi secara haram tetapi penghasilan samsu yang dijual pada harga murah telah dilakukan secara membabi buta.
Kepada penduduk kelas bawahan yang tidak mampu membeli jenama arak berkualiti, mereka tiada pilihan lain selain membeli samsu serendah 60 sen seliter di lokasi-lokasi haram di Bengal Barat.
Meskipun hambatan agama melarang budaya minum samsu haram, India tidak berupaya menafikan bahawa lima peratus daripada 60 juta rakyatnya dikatakan mengamalkan tabiat tidak sihat itu. Menyokong fakta itu, penyelidikan Indian Alcohol Policy Alliance merekodkan, satu hingga dua individu disahkan mati dalam jangka masa seminggu akibat meneguk samsu haram.
Apabila dunia hangat memperkatakan tentang kes keracunan samsu haram di Bengal Barat, pihak berkuasa tempatan lantas menjalankan kajian forensik terhadap kandungan minuman yang memabukkan itu.
Majistret Narayan Swarup Nigap mendedahkan, hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas 20 mangsa berjaya mengesan campuran metanol iaitu sejenis alkohol yang sangat beracun dalam arak yang diminum.
Risiko buta
“Selain digunakan untuk melarut dan mengelakkan minuman cepat beku, metanol telah ditambah untuk meningkatkan kadar kandungan alkohol,” jelas Nigap yang jelas cukup kecewa dengan kejadian yang meragut nyawa orang miskin dan menyukarkan lagi kehidupan wanita yang bergelar janda itu.
Dalam pada itu, Dr. Bob Patton dari Jabatan Ketagihan, Institut Psikiatri di Kolej King London memberitahu, penggunaan 10 mililiter (ml) metanol dalam air boleh menyebabkan seseorang buta. Sesiapa juga boleh maut sekelip mata jika terminum alkohol yang dicampur dengan 30 ml metanol.
“Apabila seseorang minum arak yang telah dicemari dengan bahan kimia bahaya itu, dia akan dapat simptom muntah, pening kepala, sakit perut, berbuih di mulut dan sawan sebelum mati,” katanya.
Kematian ratusan mangsa dalam masa beberapa hari sahaja telah membongkar banyak muslihat.
Penulis buku tentang alkohol di negara itu, Aniruddha Mookherjee telah membuat pendedahan yang mengejutkan.
Mookherjee mendakwa, terdapat keterlibatan pihak polis termasuk parti politik dalam mengawal dan menggerakkan industri samsu haram di India.
“Kerajaan negeri mengawal bisnes minuman keras di India. Di kebanyakan negeri, minuman keras dihasilkan oleh kumpulan yang dilantik khas yang punya kepentingan dengan ahli politik.
“Minuman keras dijual secara berleluasa di kedai-kedai kerajaan di Delhi tetapi di Bengal Barat itu tidak berlaku,” katanya sambil mengakui permintaan untuk minuman keras sangat tinggi di negara itu dan pelanggan harus menggunakan kata kunci tertentu untuk membeli minuman keras jenis itu.
Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banarjee turut meluahkan kegusaran. Katanya, pertalian antara ahli politik dengan pengusaha samsu haram telah menyulitkan usaha polis membanteras jenayah ini.
Seorang lelaki yang terlibat dalam industri arak secara gelap memberitahu BBC News, bisnes di daerah Gocharan misalnya, dimonopoli oleh seorang lelaki yang sangat tamak yang sanggup mencampurkan racun perosak dalam minuman keras untuk menghasilkan rasa yang lebih enak.
“Minuman keras itu dibungkus dalam tin dan disalur ke semua daerah dan di sesetengah negeri ia dihantar melalui bas atau kereta api. Peruncit kemudian menjualnya secara bungkus,” katanya berterus-terang.
Masalah ini dilihat seperti sukar menemui titik noktahnya. Bagaimanapun, untuk melegakan hati rakyat yang sedang berkecemuk, kerajaan berjanji akan menyediakan pampasan kepada setiap mangsa.
Namun, ramai yang sangat skeptikal. Mereka sukar untuk mempercayai dan semuanya dianggap sebagai janji manis belaka.
“India sememangnya susah untuk mengelak daripada gejala rasuah,” kata seorang wanita dengan nada penuh kemarahan.
0 ulasan: