Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Sabtu, 25 Januari 2014

Mustahil Malaysia Akan Alami Salji - Jabatan Meteorologi

Kongsi Di Pesbuk

Fenomena salji tidak akan berlaku di Malaysia berikutan suhu sejuk yang melanda negara kini.
Itu jawapan yang diberikan oleh sumber Jabatan Meteorologi Malaysia ketika dihubungi Mynewshub.my, hari ini.
Malah, menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh jabatan itu semalam, kejadian salji di Indonesia juga tidak benar sama sekali.
Ini kerana, adalah agak mustahil untuk negara-negara beriklim tropika seperti Malaysia dan Indonesia untuk mengalami salji kerana suhu udara kedua-dua negara tersebut adalah tinggi sepanjang tahun.
Suhu udara sejuk daripada kebiasaan yang dialami di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan pantai timur dan utara Semenanjung pada minggu ini adalah disebabkan oleh tiupan angin timur laut yang agak kencang yang berpunca dari Tanah Besar China yang sedang mengalami musim sejuk.
Bulan Januari dan Februari merupakan tempoh suhu minimum agak rendah berbanding bulan-bulan lain dan cuaca sejuk dijangka berlarutan sehingga awal minggu hadapan.
Pada masa yang sama, keadaan litupan awan yang kurang di seluruh Semenanjung Malaysia sepanjang minggu ini turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi.

Sementara itu, beberapa penduduk di Kuala Krai, Kelantan yang berhadapan dengan suhu sejuk minimun 17 darjah Celcius mengaku mengalami sedikit kesukaran kerana keadaan itu, memetik laporan Berita Harian.
“Biasanya, anak saya mandi air paip pada waktu pagi tanpa masalah. Namun, sekarang, tengah hari pun air paip masih terasa sejuk seperti dicampur ais, membuatkan anak yang baru balik sekolah enggan mandi. Suasana dalam rumah pada waktu malam juga terasa bagaikan dipasang pendingin hawa hingga memerlukan selimut tebal untuk mengurangkan kesejukan.
“Keadaan ini memberi kesan kepada kesihatan suami saya, R Azmi Jaafar, 48, yang mengalami angin ahmar sejak tujuh bulan lalu,” kata seorang surirumah, Rosmanita Zainal Abidin, 42.
Rohaida Mohamed, 36, pula berkata, mereka tidak menghidupkan kipas kerana keadaan kini seumpama menggunakan penghawa dingin.
“Sepanjang masa kalau berjalan dalam rumah pun perlu memakai selipar atau stokin bagi mengurangkan rasa sejuk,” ujarnya
Justeru, diharapkan  orang ramai yang sedang menghadapi suhu sejuk di kawasan-kawasan tertentu  menjaga kesihatan dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan timbulnya pelbagai penyakit terutamanya di kalangan kanak-kanak dan warga tua. 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com