ANGGOTA polis mengusung mayat Yew Siang yang ditemui mati dengan tangan terikat, manakala kepalanya dibungkus dengan kain di Kampung Kubang Palas, Binjai, Kota Bharu semalam. |
KOTA BHARU – Seorang kontraktor yang keluar bersama seorang rakan sejak kelmarin ditemui mati dalam keadaan menyedihkan apabila kepalanya dibungkus dengan kain manakala kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang di sebuah kebun di Kampung Kubang Palas, Binjai, dekat sini semalam.
Mayat Saw Yew Siang, 56, dari Tumpat, ditemui oleh sepasang suami isteri pada pukul 7.30 pagi ketika mereka hendak mengutip sayur-sayuran di kebun tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mayat mangsa yang lengkap berpakaian itu dipercayai telah dibunuh kira-kira 10 jam sebelum ditemui.
Katanya, terdapat kesan kecederaan di kepala dan beberapa bahagian badan akibat dipukul dengan objek keras.
“Selain kontraktor, mangsa juga memiliki kedai alat perkakasan rumah. Kita dimaklumkan mangsa telah keluar dari rumahnya sejak semalam (kelmarin) dengan seorang kenalan.
“Kita percaya dendam merupakan motif pembunuhan. Polis sedang siasat sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibuang di situ atau sebaliknya,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
0 ulasan: