PAGI itu, ibu jari kaki kiri Muazan Zainuddin, 52, terasa berdenyut-denyut dan membengkak. Dia bingkas bangun untuk mengambil ubat bagi meredakan kesakitan yang dialaminya. Malangnya, seluruh tubuh badannya tidak dapat bergerak. Kepalanya terasa pening manakala tengkuknya mengalami kekejangan hampir tiga jam.
Lantas, anak-anaknya bergegas menghubungi ambulans dan menghantarnya ke hospital untuk rawatan lanjut. Di hospital, badan Muazan dimasukkan air bagi meneutralkan paras asid urik yang naik secara mendadak.
Situasi itulah yang kerap dialami Muazan apabila dia diserang gout. Peningkatan asid urik dalam darah telah menyebabkan penyakit gout bertambah kronik. Ibu jari kakinya membengkak kemerah-merahan sehingga dia sukar bergerak. Sakitnya bukan kepalang seperti tapak kaki terpijak jarum.
“Gout ini sekali terkena sukar untuk sembuh tetapi kita boleh cegah serangan gout,” ujar Muazan yang menjalani rawatan susulan di hospital setiap bulan.
Jelas jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu, selain mendapatkan rawatan doktor, dia disarankan mengamalkan diet seimbang dan mengelak daripada makanan yang mengundang gout.
Muazan disahkan menghidap gout pada tahun 1992 selepas pulang dari Jepun. Namun, hari ini dia perlu banyak berpantang dalam pemakanan. Dia perlu mengelak makanan berasaskan kacang, hidupan laut dan daging merah. Setiap hari, dia mendisiplinkan diri menikmati sup sayur dan ikan.
KIN SING memberitahu bahawa asid urik yang tidak dikumuhkan dengan baik boleh merosakkan buah pinggang.
Makanan laut
Bapa kepada dua orang cahaya mata itu menjelaskan, doktor mengesahkan kandungan asid uriknya terlalu tinggi, gara-gara kerap menikmati hidupan laut sepanjang tiga bulan berkursus di Negara Matahari Terbit itu. Jelas Muazan setiap hari dia cenderung menjamu selera dengan makanan laut seperti salmon, udang dan sotong berbanding ayam dan sayur-sayuran.
Sementara itu, Azlan Bahrum, 27, menyifatkan kesakitan pada ibu jari kaki kanan yang dialaminya tujuh tahun lalu hanya sakit sendi biasa. Apatah lagi, doktor yang memeriksanya menyatakan kesakitan itu berpunca daripada kekurangan kalsium pada tulang.
“Doktor langsung tidak mengesyaki saya menghidap gout memandangkan usia yang masih muda. Saya kerap diberikan suntikan dan ubat tahan sakit apabila mengalami kesakitan terutamanya selepas makan makanan laut.
“Namun, selang setahun barulah saya didiagnosis menghidap gout. Itupun selepas mengalami kecederaan pada tangan akibat jatuh tangga. Selepas insiden itu, tulang buku jari hantu kiri yang terseliuh membengkak dan berdenyut-denyut. Rupa-rupanya, sendi yang lemah menyebabkan asid urik berkumpul,” jelas Azlan yang sudah dua kali menjalani pembedahan mengeluarkan asid urik pada tulang buku jari hantu dan tumit kaki kirinya.
Anak kelahiran Batu Kurau, Perak itu memberitahu, gout yang dialami juga berpunca daripada faktor genetik.
“Gout cukup menyeksakan kerana sendi yang sakit terlalu sensitif dan tidak boleh disentuh walaupun terkena kapas yang lembut,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Justeru bagi memastikan peredaran darah sentiasa berjalan lancar dan mengurangkan serangan gout, setiap hari dia mengamalkan minum air halia yang dicampur bersama lada hitam dan bawang putih serta minum air kosong sebanyak tiga liter sehari.
Azlan juga mengamalkan minuman air herba kemunting Cina.
Gout merupakan sejenis penyakit yang menyerang sendi. Serangan tersebut boleh berlaku secara akut atau kronik iaitu kesakitan yang berulang-ulang.
Dahulu, penyakit gout dikenali penyakit raja dan orang-orang kaya kerana ia kerap menyerang golongan berkenaan. Barangkali pada masa itu, golongan tersebut mampu menikmati makanan yang mahal seperti daging, hidupan laut ataupun minuman keras. Hari ini, gout boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira umur, bangsa dan jantina.
Dalam pada itu, Ketua Pakar Pemakanan, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Lim Ai Leng memberitahu amalan pemakanan yang betul dan minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari dapat membantu mencegah serangan gout.
Amalan tersebut dapat membantu meneutralkan paras asid urik dan menyingkirkannya daripada badan. Tahap asid urik yang normal dalam darah ialah antara 0.21 hingga 0.42 mmol/L.
“Pesakit gout harus mengelak daripada makan makanan laut seperti kerang, ikan salmon, ikan bilis, udang dan ketam kerana kandungan purinanya tinggi. Purina ialah sejenis protein yang membentuk asid urik hasil proses metabolisme dan berpotensi menyebabkan serangan gout.
“Purina juga terdapat dalam organ-organ dalaman haiwan seperti hati dan hempedal ayam, perut, otak dan usus lembu serta daging kambing. Sebab itu, saya sarankan pesakit sentiasa amalkan diet mengikut panduan piramid makanan,” jelas Ai Leng yang tidak menggalakkan pesakit minum minuman keras kerana ia meningkatkan paras asid urik dalam badan.
|
Saya Sayang Malaysia
Saya Sayang Malaysia
Sabtu, 8 Oktober 2011
Sakit bak ditusuk jarum...!!!
Kongsi Di Pesbuk
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan: