Ibrahim Hassan, 45, berkata, anaknya itu menghidap penyakit psoriasis sejak setahun lalu memaksa Mohd Taufiq Asifah, 15, melupakan aktiviti harian bersama remaja seusianya.
Dia lebih selesa berada di dalam rumah kerana mudah mengalami tekanan apabila terkena cuaca panas, terutama pada tengah hari selain cepat berasa letih.
“Sebelah malamnya, anak saya selalunya tidak boleh melelapkan mata kerana mengalami kegatalan dan terpaksa diasingkan dengan adik-adiknya yang lain memandangkan banyak kulitnya menggelupas sehingga muncul bintik-bintik kemerahan.
“Makanannya juga terpaksa dipilih dan berpantang. Dia hanya makan nasi dengan lauk ikan bilis dan tenggiri serta sayur air sahaja kerana alergi kepada makanan lain,” katanya.
Katanya, dengan pendapatan RM350 sebagai buruh kilang di Jerantut, dia tidak boleh membeli ubat tambahan untuk anaknya itu.
“Lagipun wang itu perlu digunakan untuk menyara enam anaknya yang lain. Sebab itu, saya nekad untuk mendapatkan bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno,” katanya.
Menurutnya, anaknya itu disahkan mengalami sakit berkaitan genetik.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti, Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, beliau akan berusaha menguruskan bantuan daripada pihak sepatutnya termasuklah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) bagi membolehkannya membeli ubat dan khidmat doktor pakar kulit dalam masa terdekat.
0 ulasan: