Bukan lagi hadir dengan kontroversi yang mungkin mampu menggugat nama mereka, sebaliknya dua artis muda yang sedang giat mencipta nama ini mengakui bahawa ada cinta yang terjalin dalam hati mereka.
Tanpa berselindung, pasangan sama cantik, sama padan ini sudah pun merancang untuk bertunang dan seterusnya membina mahligai bahagia bersama-sama. Masing-masing sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab berumahtangga.
“Kalau ditakdirkan kahwin pada usia muda, saya tak ada masalah kerana ibu saya sendiri mendirikan rumahtangga pada usia 18 tahun.
“Bagi saya, usia bukanlah penghalang kerana semuanya terletak pada diri sendiri,” kata Shahz mengenai perancangan mereka itu.
Bagaimanapun Shahz berkata, buat masa ini, mereka berdua masih belum membuat keputusan bilakah masa sebenarnya mereka mahu menamatkan zaman bujang.
“Kami memang ada berbincang mengenai masa depan sewaktu kami bersama. Macam-macam perkara yang dibincangkan, tentang masa depan, keluarga kami dan segalanya.
“Lagipun ayah saya sudah tua. Jadi bila anak-anaknya kahwin, pasti dapat menggembirakannya. Tetapi semua itu hanyalah cakap-cakap sahaja. Sampai masanya kelak akan diberitahu,” katanya.
Kenal sejak sekolah
Mengimbau detik perkenalan mereka, Shahz berkata, mereka sudah mengenali sejak di bangku sekolah. Sembilan tahun lalu, mereka pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
“Kami belajar di sekolah yang sama dan ketika itu, saya di tingkatan lima dan Miera pula di tingkatan dua. Kami berjiran kerana Miera tinggal di belakang rumah saya,” katanya.
Shahz berkata, pada masa itu, dia sudah menaruh hati pada Miera dan pernah berhubung melalui laman sosial Myspace.
“Ketika itu, saya menaruh perasaan terhadap dia, namun saya tidak berpeluang untuk mengenali dia dengan lebih dekat lagi. Saya sepatutnya ada janji temu dengan dia, namun kawan baik saya yang suka dia. Jadi, saya terpaksa simpan dulu perasaan ini.
“Kami baru saja rapat sejak tiga bulan ini. Sebelum ini pun, kami pernah berlakon bersama dalam drama online, Luna Fantasiku.
“Namun apabila sekali lagi disatukan dalam filem Rentaz sebagai pasangan kekasih, secara tidak langsung perasaan kami kembali berputik,” katanya.
Bagi Miera pula, dia memilih Shahz bukan kerana pelakon yang terkenal menerusi drama Asmara itu semakin popular, tetapi kerana mereka banyak persamaan.
“Saya suka seseorang itu bukan sebab dia pelakon popular. Saya sendiri jika boleh nak lari daripada bercinta dengan orang dalam industri. Bukan itu saja, saya ini jenis yang ‘gila-gila’, jadi susah untuk orang lain memahami saya.
“Berbeza dengan Shahz kerana dia seorang yang mudah didekati dan saya berasa sangat selesa dengan dia. Boleh dikatakan kami 'sekepala'. Apa yang dia fikir, saya fikirkan juga.
“Selain itu, Shahz seorang yang pendiam. Pendek kata, kami saling melengkapi,” katanya.
Miera serah pada Shahz
Bagi si dara pula, tidak manis jika dia berbicara lebih mengenai soal rumahtangga. Walaupun usia Miera baru mencecah 18 tahun, tetapi keyakinan yang diberikan oleh Shahz, 23, untuk menjadi suami dan ketua keluarga meyakinkan gadis tinggi lampai itu untuk menamatkan zaman solonya.
Impian dan harapan murni mereka berdua juga mendapat restu kedua-dua belah keluarga.
“Sama seperti ibu Shahz, ibu saya juga berkahwin pada usia muda. Saya juga tidak ada masalah jika ditakdirkan akan berkahwin dalam masa terdekat ini.
“Tetapi buat masa ini, biarlah kami memberi tumpuan terhadap karier terlebih dahulu. Cepat, lambat, jadi atau tidak kami mendirikan rumahtangga, itu semua terpulang pada takdir yang ditentukan Allah SWT,” katanya ketika ditemui semasa pelancaran filem Azura 2011.
Kaki cemburu?
Menyentuh mengenai kehadirannya pada majlis pelancaran filem tersebut, Miera menjelaskan dia hanya memenuhi permintaan Shahz. Sebagai kekasih, dia harus memberi sokongan terhadap Shahz.
“Saya ikut Shahz ke majlis ini bukan kerana cemburukan Neelofa. Sebaliknya saya datang kerana Shahz yang beria-ia suruh temankan. Kalau ikutkan saya tadi, saya hanya mahu berehat di rumah.
“Lagipun apa salahnya, ini tanda sokongan saya terhadap Shahz. Inikan filem pertama dia. Jadi, jangan salah faham, saya tidak cemburukan Neelofa. Kami bertiga berkawan,” jelas Miera.
Miera berkata, dia bukanlah mahu berkepit sepanjang masa, sebaliknya mengamalkan sikap toleransi dalam perhubungan mereka.
“Jika saya ada masa terluang, saya tidak ada masalah untuk menemani Shahz, begitu juga Shahz.
“Tetapi bukanlah sepanjang masa kami mahu bersama, cuma pada masa-masa tertentu saja,” katanya.
Bukan ratu kontroversi
Tatkala menyentuh karier peribadinya, gadis tinggi lampai yang mula dikenali menerusi drama, Kamelia Katrina ini mengakui kontroversi yang pernah melingkar kariernya membantu menaikkan nama Miera.
Namun tegas Miera, dia tidak suka jika ada pihak melabelkannya sebagai ratu kontroversi.
“Apa yang berlaku sebelum ini, saya akui salah saya. Saya hanya manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan.
“Lagipun saya tidak boleh puaskan hati semua orang. Sejujurnya kalau boleh saya mahu dikenali kerana karier dan bakat. Bukan perkara remeh-temeh seperti isu pakaian dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, apa yang penting kini, dia mahu memberi tumpuan terhadap karier seninya. Malah Miera juga mula mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit untuk mengambilnya berlakon.
“Selepas selesai menjalani penggambaran Apokalips X dan Rentaz di bawah arahan Mamat Khalid, Ahmad Idham pula memberi kepercayaan kepada saya untuk membintangi filem arahan beliau iaitu Jangan Pandang-pandang.
“Bagi saya, peluang yang datang ini semuanya rezeki. Saya berharap selepas ini peminat juga akan melihat saya kerana bakat, dan bukannya kerana kontroversi yang mengarut,” katanya.
Tidak cintakan Lofa
Pada majlis pelancaran filem Azura, di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, Rabu lepas, Shahz mengakui sememangnya dia terpikat kepada Neelofa ketika mereka sama-sama menjalani penggambaran filem tersebut.
“Saya akui jatuh hati dengan Lofa (Neelofa) pada waktu itu, tetapi saya sedar. Sebenarnya saya jatuh hati dengan karakter Azura yang dijayakan Lofa.
“Saya puji Neelofa kerana dia mampu menjiwai watak tersebut dengan berkesan. Sehinggakan saya rasa tidak sukar untuk mencari keserasian walaupun kali pertama bergandingan bersama,” jelasnya.
Shahz lantas menegaskan dia dan Neelofa tidak pernah menjalinkan hubungan cinta, sekali gus menafikan gosip percintaan mereka yang tersebar selama ini.
“Sebenarnya saya ingin menyatakan yang memang kami tidak pernah menjalinkan hubungan percintaan seperti yang didakwa sesetengah pihak. Hubungan kami pada masa itu agak rapat, tetapi tidaklah sampai bercinta.
“Lagipun kami hanya rapat di lokasi dan tidak pernah keluar berdua bersama. Sebaik sahaja selesai menjalani penggambaran filem Azura, kami terus membawa haluan masing-masing dan agak jarang berhubung,” katanya.
Kaki perempuan?
Pengakuan yang dibuat Shahz itu, sekali gus menyebabkan dia dilabelkan, sebagai 'kaki perempuan'.
Bagaimanapun, Shahz berkata, dia bukanlah seperti disangka kerana dia juga seperti manusia biasa yang ingin bercinta. Namun, jodoh di tangan Tuhan.
“Kalau bercinta, saya seorang yang setia. Saya tak reti nak sayang dua, tiga orang wanita dalam satu masa,” katanya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran Bunga April.
Bercerita mengenai filem Azura, Shahz mengakui berdebar menanti reaksi peminat apabila ia ditayangkan kelak.
Malah lebih membuatkan Shahz berdebar, filem tersebut menjadi filem yang paling berjaya semasa dilakonkan oleh Jamal Abdillah dan Fauziah Datuk Ahmad Daud.
“Sebelum dan sepanjang penggambaran, saya memang elak menonton filem Azura sebelum ini kerana tidak mahu terikut-ikut.
“Saya seboleh-bolehnya mahu menjayakan karakter Zack itu dengan cara tersendiri. Jika mahu menilai hasilnya, sama-samalah kita nantikan apabila ia ditayangkan kelak,” katanya.
0 ulasan: