Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Rabu, 23 November 2011

Penduduk resah diganggu toyol...!!!

Kongsi Di Pesbuk Maimun-Mohd-Yusof-58RHU RENDANG - Penduduk di dua kampung membabitkan kawasan sekitar Kampung Bukit Gasing dan Darat Pak Chan dekat sini, hidup dalam keresahan dan buntu mencari jalan penyelesaian berikutan wang simpanan mereka kerap hilang.

Mereka mendakwa, kehilangan wang simpanan itu dipercayai angkara perbuatan toyol berdasarkan beberapa kejadian aneh dilalui segelintir penduduk yang menjadi mangsa, sebelum rumah mereka dipercayai dimasuki dan wang simpanan disedari hilang.

Difahamkan, penduduk terbabit telah menggunakan pelbagai cara untuk menghalang kejadian kecurian itu terus berlaku termasuk mengadakan solat Hajat dan menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional seperti bomoh.

Namun, sehingga kini kejadian itu dikatakan terus berlaku dan ia kini semakin menjadi-jadi hingga merimaskan mereka, tetapi ada juga pihak yang menyangkal perbuatan itu dilakukan oleh makhluk halus, sebaliknya berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri.

Seorang penduduk yang mengalami kerugian berterusan dan menjadi mangsa toyol, Muda Said, 63, dari Kampung Darat Pak Chan berkata, kecurian dipercayai angkara makhluk halus itu berlaku sejak awal tahun apabila wang di rumahnya sering didapati hilang.

“Peliknya, jumlah wang yang hilang itu bukannya banyak dalam satu-satu masa, namun kejadian kecurian itu akan berulang setiap Selasa, menyebabkan jumlah kerugian dialami mencecah RM2,000 bermula sejak tahun lalu hingga September tahun ini.

“Kami dapat mengagak ia melibatkan toyol kerana makhluk ini hanya mengambil sejumlah wang pada satu masa, biarpun pada masa sama terdapat sejumlah wang lain yang disimpan di tempat sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, selepas terlalu kerap mengalami keadaan sama, dia berjumpa dengan seorang pengamal perubatan tradisional dan dimaklumkan kejadian itu angkara makhluk halus berdasarkan ia turut merosakkan peralatan rumah seperti mengoyak kain langsir dan menyorok kunci van.

Malah perkara itu turut disahkan isterinya, Maimun Mohd Yusof, 58, yang mengalami kejadian sama beberapa kali sebelum ini selepas menyedari wang simpanan hasil menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di pasar pagi, sering kurang.

“Saya percaya ini perbuatan makhluk halus, mungkin juga toyol kerana sebelum menyedari wang simpanan hilang, kami sering diganggu dengan bunyi ketukan pada pintu tetapi apabila pintu dibuka, tiada kelibat manusia kelihatan.

“Setiap kali selepas mengalami suasana begitu, saya mendapati wang simpanan susut dan kejadian terbaru dialami pada September lalu apabila wang hasil meniaga di pasar pagi hilang sebanyak RM200,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, kunjungan Sinar Harian ke Kampung Bukit Gasing mendapati kebanyakan mereka mengeluh kerana pelbagai langkah diambil termasuk berpakat menganjurkan majlis bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan ayat Kursi, namun kecurian itu masih berlaku.

Namun kebanyakan daripada mereka termasuk pemimpin setempat takut untuk membuat pendedahan dengan alasan makhluk halus itu bersikap ‘pendendam’ dan mengetahui perbuatan itu telah dihebohkan sekali gus mereka bimbang akan menjadi mangsa dalam masa terdekat.

“Ini kerja makhluk halus itu kerana jika kita meletakkan wang kertas berikat dalam jumlah yang banyak, ia tidak terusik tapi jika hanya wang kertas RM50 ia akan didapati hilang dan yang berikat tidak diambil,” kata seorang penduduk di Kampung Bukit Gasing.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Gasing, Taib Idris ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut, namun beliau mengakui pihak jawatankuasa masjid kampung berkenaan mengadakan solat Hajat.

“Difahamkan mereka mengadakan solat hajat, namun saya tidak pasti ia adalah perbuatan toyol. Misteri toyol ini kini menjadi buah mulut ramai orang,” katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com