Walaupun hubungan mereka sememangnya sudah terjalin erat memandangkan Amy merupakan pengetua AF9, bagi Hazama, dia tetap berasa rendah diri kerana dapat bekerjasama dengan legenda rock itu.
“Saya menjadikan abang Amy sebagai idola dalam bidang nyanyian sejak kecil lagi. Peluang bertemu dan mendapat tunjuk ajarnya ketika di AF9 merupakan kenangan manis dalam hidup saya.
“Apabila saya dimaklumkan tentang projek kolaborasi Simetri ini, saya tidak tahu bagaimana untuk menyembunyikan rasa teruja terhadap peluang yang hadir buat julung kalinya ini,” katanya pada majlis pelancaran Simetri.
Menurut jejaka berusia 27 tahun ini, ketika sesi rakaman lagu itu berjalan, dia berasa gerun pada awalnya apabila mengenangkan rakan duetnya yang begitu berpengalaman.
“Abang Amy seorang yang serius ketika bekerja. Secara tidak langsung, saya pun jadi serius kerana bimbang hasil kerja kami nanti menghampakan.
“Namun, abang Amy tidak kedekut ilmu dan dia banyak memberi tunjuk ajar berkaitan hal kerja. Jadi, tidak sukar untuk membina keserasian,” katanya.
Bukan sekadar peluang berduet dengan Amy, malah lagu ciptaan Audi Mok dan lirik Zel Firdhaus Hadauan itu turut mendapat sentu-han gitar oleh penyanyi terkenal, Faizal Tahir.
Menafikan itu adalah strateginya untuk menumpang populariti kedua-dua penyanyi hebat tersebut, Hazama positif dengan kolaborasi unik ini.
“Terpulanglah kepada masyarakat untuk menilai, kerana bagi saya tidak timbul isu menumpang populariti sesiapa.
“Apa yang saya lihat, kerjasama antara generasi baru dan lama ini dapat memberi kelainan kepada industri muzik tanah air,” katanya.
Pendapat Hazama itu turut disokong penuh Amy yang menyifatkan Simetri lain daripada genre muzik yang dibawanya selama ini.
“Saya gembira dapat melakukan sesuatu yang baru untuk mewarnai industri dan Hazama juga telah berjaya membawakan lagu ini dengan cara tersendiri.
“Semangat Hazama seolah-olah mengembalikan nostalgia pembabitan awal saya dalam bidang nyanyian. Saya percaya dia mampu melangkah lebih jauh dalam bidang ini,” katanya.
Simetri yang sudah diputarkan di corong radio sejak minggu lalu menampilkan sentuhan teknologi terkini, namun roh muzik rock masih menjadi tunjang kepada keseluruhan lagu.
0 ulasan: