KUALA KEDAH - Penduduk Taman Sri Putra Fasa II juga terpaksa berhadapan dengan masalah sama kerana sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik, menyebabkan banjir kilat kerap berlaku di kawasan itu.
Seorang penduduk, Rosli Ismail, 41, berkata, hujan lebat dalam tempoh 10 minit sahaja sudah boleh menyebabkan rumah penduduk di kawasan itu dinaiki air.
“Kami sudah memaklumkan ahli majlis dan pihak berkenaan mengenai masalah di sini namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil, malah tiada siapa yang turun padang untuk mendengar rintihan kami.
“Kebanyakan penduduk di taman ini terdiri daripada warga emas dan ibu tunggal, banjir yang berlaku bukan sahaja menyebabkan peralatan di dalam rumah rosak malah boleh mengancam nyawa dan keselamatan penghuni taman ini,” katanya.
Menurutnya, sistem perparitan tidak sempurna yang mana ada kawasan dibina longkang simen manakala sebahagian daripadanya pula tidak.
“Lebih memburukkan keadaan apabila tiada penyelenggaraan dilakukan menyebabkan longkang sering kali tersumbat, dan penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk membersihkan sampah sarap dan akar tumbuhan yang ada di dalamnya.
“Justeru, kami berharap pemimpin dan pihak bertanggungjawab turun padang dan bantu kami seelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya.
0 ulasan: