KUANTAN - Abang mangsa kemalangan maut dua beranak di simpang Kampung Batu Tanah Merah dekat Jalan Kuantan - Pekan di sini, petang semalam, Yusmanizam Mat Yusof, 38 berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya, Yusmawat, 36, sebelum hari raya Aidiladha lalu.
Menurutnya, selepas itu dia tidak berkesempatan untuk bertemu adiknya kerana masing-masing sibuk beraya di rumah sanak-saudara sempena hari raya Aidiladha kelmarin.
“Tidak sangka pula, pertemuan kami tempoh hari adalah yang terakhir,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTAA di sini, petang semalam.
Yusmanizam berkata, dia hanya mendapat tahu kejadian yang menimpa adik dan anak buahnya daripada salah seorang sepupu.
“Saya terkejut namun reda dengan segala yang berlaku,” katanya.
Menurutnya, adiknya itu dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar anaknya perempuannya yang berusia 16 tahun ke sebuah sekolah berasrama di Pekan selepas beraya di rumah keluarga bekas suami di Kampung Semangat dekat sini.
“Yusmawati mempunyai tujuh anak dan salah seorang daripada mereka tidak bersama ketika kejadian kerana tinggal di rumah nenek.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana empat daripada anak mangsa terselamat walaupun mengalami kecederaan,” katanya.
Yusmanizam berkata, adiknya itu mengusahakan perniagaan percetakan kad ucapan di sebuah kedai di Kompleks Teruntum.
“Saya ada datang ke kedainya baru-baru ini namun ketika itu dia tidak sebarang perubahan sikap dan ceria seperti biasa.
“Bagaimanapun ada saudara memberi tahu Yusmawati singgah agak lama di rumah bekas ibu mertuanya di Kampung Semangat tadi (semalam) berbeza berbanding kunjungan sebelum ini.
“Selalunya dia singgah sekejap dan terus beredar tapi hari ini agak lama,” katanya.
Dia berkata, jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi di sini.
0 ulasan: