Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Selasa, 7 Februari 2012

Amalan popular penganut Hindu...!!!

Kongsi Di Pesbuk



KEDATANGAN Thaipusam yang jatuh pada bulan Thai, bintang Pusam mengikut kalendar Hindu lazimnya jatuh pada bulan Januari. Bersempena sambutan ini, ia membuka ruang kepada berjuta-juta penganut agama Hindu melangsaikan nazar.
Amnya, nazar ini akan dipanjatkan kepada Dewa Muruga iaitu dewa yang disambut pada hari Thaipusam.
Begitu juga dengan keluarga S.Mohana Sundram, 31. Mohana telah berniat sejak tiga bulan lalu untuk melaksana nazar kerana kelahirannya.
Ketika dilahirkan, M. Kavinnesh anak kepada Mohana dan isteri beliau, S. Puneswary, 27, terpaksa menerima hakikat berhubung tahap kesihatan anak mereka.
"Anak saya mengalami masalah kesukaran membuang air besar dan ia menyebabkan pendarahan. Pada masa itu, saya sangat susah hati melihat penderitaannya. Justeru, saya telah bernazar kepada Dewa Muruga untuk membotakkan kepala," kata ibu Kavinnesh, Puneswary ketika ditemui di Batu Caves baru-baru ini.
Sebagai seorang wanita, rambut diibaratkan mahkota dan lambang kecantikan seseorang. Namun, Puneswary tidak peduli semua itu.
Sebaliknya, dia sanggup berkorban demi anaknya yang tidak sihat ketika itu.
Selain Puneswary, suaminya juga bernazar mahu membotakkan kepala. Apabila mengetahui isterinya juga bernazar, Mohana amat gembira.
Bisnes cukur rambut
"Saya menerima keputusan isteri dengan hati terbuka demi kebaikan anak. Keluarga saya juga mengalu-alukan nazar kami kerana mereka percaya dengan kuasa Dewa Muruga," kata Mohana Sundram yang sudahpun membotakkan kepalanya ketika ditemubual.

MENJELANG Thaipusam ramai yang akan membotakkan kepala kerana bernazar.


V. Thiagu, 33, menjalankan perniagaan mencukur rambut di pintu masuk kuil Sri Subramiam, Batu Caves, Selangor bersama berpuluh-puluh pencukur yang lain. Dia membuka gerai mencukur kepala sempena sambutan Thaipusam. Ketika ditemui, Thiagu sudah bersedia untuk mencukur kepala Puneswary.
"Lazimnya kami mencukur rambut bayi yang baru lahir. Ia sudah menjadi satu kemestian dalam kalangan penganut agama Hindu untuk mencukur rambut pertama di kuil bagi bayi yang baru lahir. Menjelang Thaipusam, ramai yang akan bernazar. Lazimnya, ia terdiri daripada pelbagai peringkat umur sama ada bayi, ibu bapa, nenek atau datuk, semuanya akan menunaikan nazar mereka," kata Thiagu.
Namun, kaum wanita paling kurang bernazar membotakkan kepala. Bagaimanapun, mereka masih mempunyai pelbagai pilihan lain seperti membawa periuk susu, menjunjung anak menggunakan batang tebu, membawa kavadi dan melutut ketika naik tangga.
Selain itu, ada yang mencucuk panah kecil di pipi, mencucuk di bahagian belakang badan, berjalan di atas kasut berpaku, berjalan di atas pisau dan sebagainya.
Puneswary ialah antara wanita muda yang bernazar membotakkan kepalanya. Ramai lagi wanita dilihat membotakkan kepala kebanyakannya bernazar demi anak, suami, ahli keluarga yang lain dan sebagainya. Sebaliknya, membotakkan kepala dalam kalangan lelaki dan bayi dilihat sebagai satu nazar yang paling biasa dilakukan.
Menurut seorang sami dari Klang, Saminathan Iyer, 75, membotakkan kepala adalah satu bentuk nazar yang paling penting dilakukan.
Rambut dilihat sebagai salah satu kecantikan yang utama bagi seseorang. Sehubungan itu, pengorbanan rambut adalah dilihat sebagai sesuatu yang paling berharga.
"Dahulu, rambut adalah lambang kecantikan. Bila anda sanggup mencukur rambut demi bernazar, ia pasti untuk memenuhi satu hasrat yang besar dan serius. Amalan ini terus dipraktik sehingga sekarang," katanya.
Bagaimanapun, rambut tersebut sama sekali tidak boleh dikitar semula untuk apa-apa tujuan kerana ia adalah untuk tuhan.
Dahulu, mencukur rambut dipraktis di tepi sungai untuk memudahkan ia dibuang terus ke dalam sungai.
Namun, Saminathan memberitahu, di Malaysia membotakkan kepala popular dilakukan pada hari Thaipusam tetapi di India, ia dilakukan di mana-mana kuil dan untuk mana-mana tuhan mengikut nazar seseorang.

PELANCONG asing tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sambutan Thaipusam.


Tunggu giliran
Turut dilihat di pekarangan Kuil Sri Subramaniam Batu Caves ialah Ashwin Kumar, empat, cucu kepada Krishnan Perumal, 64.
Kedua-duanya menunggu giliran membotakkan kepala. "Ini adalah kali kedua saya membotakkan kepala demi kesejahteraan keluarga. Cucu saya pun mahu membotakkan kepala," kata Krishnan.
Apabila ditanya jika nazar kali pertama membotakkan kepala untuk kesejahteraan keluarga tidak membawa apa-apa perubahan, Krishnan menjawab : "Kita tidak boleh membeza atau membandingkan sama ada nazar yang kita lakukan sebelum atau kemudiannya lebih baik atau tidak. Apa yang ditentukan tuhan adalah demi kebaikan kita."
Ibu bapa kepada Haresh Rao, empat bulan iaitu H. Ramesh Rao, 32 dan K.Valli, 28, mencukur kepala anak mereka sebagai satu kemestian mencukur rambut bagi bayi yang baru lahir.
"Selepas proses mencukur, kami akan memanjat tangga dan membuat pemujaan kepada Dewa Muruga," kata Valli yang membayar RM10 sebagai bayaran mencukur rambut di Batu Caves.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com