Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Sabtu, 25 Februari 2012

Sudirman Dalam Kenangan...!!!

Kongsi Di Pesbuk
Sudirman Hj Arshad (25 Mei 1954-22 Februari 1992) merupakan salah seorang penyanyi terkenal di Malaysia. Beliau telah dinobatkan sebagaiPenghibur Nombor 1 Asia dari Malaysia sebelum Siti Nurhaliza. Anak jati Pahang pertama memenangi Anugerah Penyanyi Asia tahun 1989 di London. Lelaki kacak ini telah diberi jolokan sebagai Penghibur Milik MasyarakatSeniman Rakyat dan Elvis Malaysia. Beliau adalah penyanyi, penghibur, penggubah, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan pelakon.Selain itu, beliau telah melahirkan sebanyak 168 buah lagu.
Begitulah tanggapan yang masih melekat di minda yang bernasib baik dapat menyaksikan sendiri Sudirman secara peribadi atau melalui kaca televisyan. Gelaran peledak Cili Padi ini hanya mempunyai ketinggian 1.47 meter dan berkasut saiz 7, mengenakan pakaian biasa, solekan dan sekali sekala mengenakan chaplinesque yang bersahaja.
Sudirman2.jpg
Sudirman Haji Arshad dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di no. 48, Jalan Ibrahim, Temerloh, Pahang. Anak kepada Puan Hajjah Romlah binti Dahalan dan Haji Arshad bin Haji Hassan.
Di zaman persekolahan
Ibunya, seorang wanita yang aktif di arena politik sebagai Ketua Wanita UMNO Pahang Selatan dan Wakil Rakyat Pertama 1955 mewakili Kawasan Temerloh, telah meninggal dunia pada tahun 1959 di usia muda 32 tahun (ketika Sudirman berumur 5 tahun) setelah mengidap penyakit kanser. Bapanya adalah pengurus Syarikat Bas Temerloh (Temerloh Bus Company), juga seorang ahli politik UMNO di Temerloh, Pahang. Bapanya telah berkahwin dengan Puan Mariam binti Mohammad setelah kematian isterinya, sebelum meninggal dunia pada 1978.
Sudirman adalah anak bongsu, adik beradik yang lain - Zainuddin, Rudiah, Basir, Roslan dan Roaini. Dari sejak kecil, Sudirman sering menyanyi di mana sahaja. Di sekolah pula, beliau memasuki pertandingan bersyair, berpidato, berpantun, kuiz dan terlibat dalam persembahan teater dan koir sekolah. Dia suka bersukan, senang berpidato dan setiap waktu di perpustakaan.
Sudirman memulakan persekolahnya pada tahun 1961 di Sekolah Rendah Abu Bakar (Mentakab), Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia (Temerloh) danSekolah Menengah Sultan Abu Bakar (Kuantan), Pahang sehingga beliau menamatkan Tingkatan 6. Sebelum memasuki Tingkatan 6, Sudirman menjalani kursus persediaan di ITM Petaling Jaya. Beliau mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negeri tetapi dia menolak tawaran itu.
Pada tahun 1976, beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (Kuala Lumpur). Di sebalik kepadatan jadual dalam bidang seni, beliau masih dapat membahagi masanya dengan baik di antara menyanyi dan kelas tutorial di Universiti Malaya. Pada tahun 1980 beliau telah menerima Ijazah undang-undang (LL.B) dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga. Tahun 1983, Sudirman menjalani latihan guaman dan diiktiraf sebagai Peguam pada tahun 1984. Bagaimanapun, Sudirman meninggalkan bidang guaman kerana memilih bidang seni sebagai kerjayanya.
The Singing Lawyer
Bintang RTM 1976
Sudirman Haji Arshad mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM peringkat akhir yang diadakan di Melaka pada 11 Ogos 1976. Beliau mendendangkan lagu Seruling Bambu dan Big Spender. Di peringkat awal saringan, beliau memberi jawapan spontan "seluar pinjam..." apabila disoal oleh pengacara rancangan mengenai seluar besar yang dipakainya. Para penonton suka caranya yang berterus terang. Beliau mendendangkan lagu Jali Jali, sebuah lagu klasik dari Indonesia. Jelas sekali suaranya memang unik.

Kerjaya sebagai artis

  • Duta Nyanyian
Tahun 1986, Tourism Malaysia melantiknya sebagai Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia. Semasa Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) yang ke-35 di Kuala Lumpur, Sudirman mempopularkan lagu Cintai Malaysia, Kenali Malaysia (To Know Malaysia is to Love Malaysia) ciptaan Carol Connors dari Amerika Syarikat. Lagu ini juga menjadi lagu tema semasa kempen Tahun Melawat Malaysia.
Sudirman dilantik sebagai duta bagi pelbagai syarikat terkenal seperti Proton, Malaysia Airlines, Honda Cup dan "honored pioneer card member" dengan Hong Leong.
  • Konsert di Chow Kit Road
Konsert di Chow Kit Road
Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama di dalam Malaysia Book Of Records setelah mengadakan konsert gergasi percumanya di Jalan Chow Kit,Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya memikat dan memukau hampir 100 ribu warga kota berpusu-pusu membanjiri jalan itu dengan kehebatannya. Lagu yang dinyanyikan oleh beliau ialah Chow Kit Road dan diakhiri dengan lagu patriotik Abadi sambil beliau memakai bendera Malaysian.
Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah gelanggang marhaen. Chow Kit menjadi simbol orang-orang kerdil yang juga peminat Sudirman. Maka konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih kepada para peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel dan dewan konsert, sekaligus memberitahu kita Sudirman bukan materialistik.
  • Penghibur Terbaik Asia
Pada 19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia di "Asian Popular Music Awards". Acara anugerah ini diadakan bersama-sama dengan Salem Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London. Beliau merupakan penyanyi pertama Malaysia yang memenangi anugerah tersebut. Sudirman telah mengalahkan 8 orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong (Leslie Cheung), Filipina (Kuh Ledesma), Singapura (Anita Sarawak), China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Thailand. Dalam pertandingan tersebut beliau telah menyanyikan dua buah lagu Inggeris One Thousand Million Smilesdan Send In The Clown dengan menggayakan aksi lucu ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan yang membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil negara lain yang lebih hebat popularitinya.
Lagu One Thousand Smiles dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah. Proses rakaman lagu itu dibuat di Abbey Road Studio, tempat rakaman album bagi penyanyi megastars sepertiThe Beatles. Lagu ini dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Bangsa-Bangsa Bersatu.
  • Persembahannya
Sudirman, seorang artis yg mempunyai daya tarikan yg tersendiri. Dia lincah dengan showmanship di pentas, sesuatu yang kurang kelihatan di zamannya, dan memiliki pelbagai koleksi pakaian beraneka fesyen yang digunakan sewaktu persembahan. Sudirman pernah muncul dalam acara penutup Sukan SEA 1989 yang dianjurkan oleh Kuala Lumpur dengan penampilannya berbeza, beliau mengenakan baju bendera sambil mengibarkan Jalur Gemilang (ketika itu Bendera Malaysia) yang besar.
Semasa Pertandingan Juara Lagu TV3 1987, Sudirman memenangi Anugerah Persembahan Terbaik kerana persembahannya begitu menyayat hati sewaktu mendendangkan lagu Merisik Khabardengan petikan pemetik api simbolik beliau.
Malah beliau merupakan satu-satunya seniman yang boleh menyanyi dengan fasih pelbagai bahasa (bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Hindi) serta mengubah lagu sehingga berjaya mencuri hati setiap golongan masyarakat.
Sudirman & The Girls
Sepanjang persembahannya, Sudirman diiringi band pengiringnya (The Glue), kumpulan penari (The Girls) dan penyanyi latar (The Giggles). Biarpun sibuk dan sudah dikenali, beliau masih meluangkan masa untuk belajar vokal dari penyanyi klasik terkenal bernama Florence Fong.
Sudirman juga seorang yang bijak bekerja. Dia bekerjasama dengan produser, suka berkongsi idea dengan penerbit untuk menghasilkan yang terbaik. Beliau memiliki kreativiti yang amat besar. Dengar saja penghayatan lagu yang dinyanyikannya. Beliau juga amat unik dengan penjiwaan di atas pentas. Bukan saja kerana nyanyian beliau, tapi tingkah lakunya yang sungguh terbuka, bekerja keras, menghormati seni dan rakan-rakannya dikagumi menjadikannya seorang insan istimewa.
Kejayaan Sudirman sebagai penghibur itu juga tidak dapat lari dengan lagu-lagu popular gubahan komposer terkenal seperti Datuk Ahmad Nawab, Ooi Eow Jin,S.Atan, Manan Ngah, Osman Ghani, Kassim Masdor dan M.Nasir, selain lirik puitis oleh Habsah Hassan menerusi luahan rasa sebenar penyanyinya. Habsah Hassan turut menulis skrip untuk Sudirman semasa membuat persembahan rancangan RTM dan majlis makan malam.
Beliau juga aktif di dalam Persatuan Penyanyi dan Pemuzik Tanahair (PAPITA) dan dilantik menjadi Timbalan Presiden PAPITA untuk satu penggal. Semasa hayatnya, Sudirman sangat mengutamakan pemilikan hak cipta. Dia mempertahankan nama dan haknya bagi memastikan tidak ada pihak ketiga mengambil kesempatan.
Beliau mempunyai ramai kenalan rapat, diantaranya dari kalangan wartawan (Bahyah Mahmood, Intan Zabidin, Saodah Ismail, Ku Seman Ku Hussin, Fauziah Samad, Adam Salleh, Tajaiyah Ihsan,Fatimah Hassan, Mokhtar Alias, Juwie, Huzz, Muzlina, Zubairi Zabidin) dan kalangan artis (Noor Kumalasari, Sharifah Aini, Anita Sarawak, Yusni Jaafar, Sarimah, Zaiton Sameon, Ramli MS).


Perkahwinan

Gambar perkahwinan
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, pada 14 Februari 1981, Sudirman menamatkan zaman bujangnya apabila berkahwin bersama kekasih pilihan hati yang telah dikenali sejak kecil Kamariah “Kay” Jamaluddin, seorang gadis yang bekerja di Petronas. Para peminat menyambut berita itu dengan gembira. Bagaimanapun, perkahwinan itu cuma bertahan selama tiga tahun sahaja. Ia berakhir dengan penceraian pada 25 Mei 1984 kerana tidak wujud lagi persefahaman antara mereka. Pasangan itu tidak mempunyai anak.
Sahabat baik Sudirman, Noorkumalasari pernah berkata, suasana malam di rumah Sudirman sangat sayu menjelang perpisahan antara mereka. “Apabila cerai dilafazkan mereka bertangisan. Air mata tidak dapat dibendung,” kata Noor yang menyaksikan sendiri perceraian Sudirman dan Kay.
Dalam majalah Utusan Filem dan Fesyen (UFF) dalam kolum Masih Kuingat Lagi, Sudirman menulis, dua perkara yang sangat memilukan hatinya. Pertama, kehilangan ibu pada usia yang sangat muda. Keduanya, perkahwinannya yang gagal.
Sudirman merakamkan kedukaannya melalui pahit getir penceraian menerusi lagunya Terasing dan Merisik Khabar, malah beliau turut mencipta lagu Setiamu Tiada Lagi dendangan Ibnor Riza. Setelah bercerai, Sudirman menumpukan seluruh tenaga kepada kariernya termasuk menulis, melukis, dan menubuhkan syarikatnya sendiri.


Kematian

17hb Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Tawakkal Kuala Lumpur selama 4 hari. Dilaporkan beliau telah pengsan setelah terjatuh. Selama 7 bulan beliau terlantar sakit, keluarga rapatnya merahsiakan punca penyakit dan lokasi di mana Sudirman dirawat. Dalam tempoh itu, dia tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu.

"Dia mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat, sebagai hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan kenangan yang teramat sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit dan meninggal dunia," begitu penjelasan kakak Sudirman, Rudiah apabila ditanya apakah Sudirman sendiri yang tidak mahu orang lain melihat dia sakit selain adik-beradiknya.
Pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, ketika berusia 37 tahun, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya Rudiah bt. Hj. Arshad di alamat No.16, Jalan Taban Satu, Lucky Garden, Bangsar Park, Kuala Lumpur setelah 7 bulan menghidap penyakit radang paru-paru. Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45 petang - di sebelah pusara orang tuanya. Ribuan peminat-peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dr. Mahathir Mohamad telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi dunia hiburan tanah air.



0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com