Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Selasa, 8 November 2011

Penyokong NS dakwa diserang...!!!

Kongsi Di Pesbuk
Penyokong NS dakwa diserang
SEREMBAN - Seramai sembilan penyokong pasukan Negeri Sembilan terpaksa menghadapi detik-detik mencemaskan apabila dikepung sekumpulan lelaki selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 antara negeri ini dan Terengganu di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mereka sedang berjalan kaki menuju ke tempat parkir sebelum kira-kira 40 lelaki memakai baju-T berwarna hitam dan putih menghampiri mereka secara tiba-tiba.

Mangsa, Mohd Latif Mohd Taib, 20, berkata, sebelum kejadian, seorang lelaki dan seorang wanita menasihatkan mereka mengikut laluan lain dan menanggalkan baju berwarna kuning yang dipakai.

“Kami mengambil keputusan melakukan seperti yang dinasihatkan kerana terdengar bunyi bising seperti suasana kecoh sedang berlaku di kawasan berhampiran.

“Kemudian kami bersepakat melarikan diri untuk menyelamatkan diri namun nasib saya malang kerana dapat ditahan oleh salah seorang ahli kumpulan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan di Balai Polis Rahang di Seremban, malam kelmarin.

Mohd Latif berkata, dia tidak dapat melarikan diri kerana dikepung ahli-ahli kumpulan berkenaan manakala lelaki yang menahannya mengacukan sebilah pisau ke pinggangnya.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian mengugut akan menikamnya jika dia tidak menanggalkan baju kuning yang dipakai.

“Saya melakukan seperti yang disuruh lelaki itu. Dia dan rakan-rakan sekumpulannya meninggalkan saya setelah mengambil baju dan cermin mata saya,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Mohd Redzuan Othman, 18, berkata, dia dipukul dan diterajang pada bahagian pinggang selepas diminta menanggalkan baju oleh ahli-ahli kumpulan sama.

Menurut Mohd Redzuan, nasib menyebelahinya kerana salah seorang ahli kumpulan terbabit tiba-tiba mengarahkan rakan-rakannya beredar dari lokasi kejadian.

“Saya ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga. Tanpa membuang masa, saya seterusnya berlari untuk menyelamatkan diri dalam keadaan tidak berbaju.

“Walaupun tidak mengalami kecederaan serius, kejadian yang tidak diduga itu menyebabkan saya terkejut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan telah menerima laporan tentang kejadian dan akan mengemukakannya kepada pihak polis di Shah Alam untuk tindakan selanjutnya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com