Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Selasa, 8 November 2011

Tragedi petang raya...!!!

Kongsi Di Pesbuk
Jenazah-Mohd-Shahrol-Nizam-dihantar-ke-Unit-Forensik-HSB-untuk-bedah-siasat
ALOR SETAR - Kemeriahan menyambut Hari Raya Aidiladha sebuah keluarga di Kubur Panjang, Pendang, berakhir dengan suasana pilu apabila anak bongsu mereka ditemui lemas di Sungai Rambai, Kampung Lubuk Batu, yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 1.30 petang semalam, mengorbankan Mohd Shahrol Nizam Idris, 11, yang ketika itu sedang mandi bersama dua lagi sahabat karibnya.

Anak bongsu daripada enam beradik ini merupakan murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan Kubur Panjang dan bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan.

Sinar Harian difahamkan, mangsa yang tersangkut pada tandup dibawa ke tebing sungai oleh rakan-rakannya sebelum dihantar oleh penduduk kampung ke Klinik Kesihatan Kubur Panjang, dan disahkan meninggal dunia.

Mayat Mohd Shahrol Nizam kemudian dihantar ke Balai Polis Kubur Panjang sebelum dibawa oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang dan polis ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


Mangsa lemas pakai baju raya

Sementara itu, bapa mangsa, Idris Mat Hashim, 49, berkata, kali terakhir melihat anaknya ialah ketika bersalam dan memeluknya selepas selesai solat sunat Aidiladha.

“Selepas memeluk saya, dia yang ketika itu memakai baju Melayu berwarna kuning air tidak terus pulang ke rumah sebaliknya menunggang motosikal saya dan bersiar-siar dengan kawan-kawannya di sekitar kampung.

“Kira-kira jam 1.30 petang, seorang rakannya datang ke rumah memaklumkan bahawa arwah lemas ketika mandi di sungai, dia tahu berenang malah hampir setiap hari mandi di sungai itu bersama kawan-kawannya,” katanya yang tidak menyangka kejadian itu akan berlaku.

Idris berkata, anak bongsunya itu sangat manja dengannya namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu.

“Kehilangannya sangat dirasai apatah lagi saya sendiri yang mengangkat mayatnya dari tebing sungai,” katanya.

Jenazah Mohd Shahrol Nizam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ga, Kubur Panjang.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com