Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Isnin, 10 Februari 2014

Pelajar Mangsa Buli Maut Minum Racun Serangga

Kongsi Di Pesbuk

KAJANG - Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini maut selepas dia nekad meminum racun serangga malam kelmarin dipercayai akibat tidak tahan dibuli dan diejek rakan sekelas.

Mangsa, T. Kavinraj, 13, yang juga pengawas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching, Semenyih di sini mengalami tekanan perasaan selepas diejek dan dipulau oleh rakan-rakan kerana dia tidak mempunyai bapa.


Akibatnya, anak sulung daripada empat beradik itu berasakan dirinya terasing di sekolah itu tanpa sebarang kawan.

Bapa mangsa, P. Thangavelu, mati pada Disember 2012 akibat serangan strok.
Mendiang Thangavelu meninggalkan empat orang anak berumur antara lapan hingga 13 tahun termasuk Kavinraj serta balu, B. Thanamalar, 43.



Mangsa yang mendapat keputusan 4A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Rinching di sini juga dikatakan dipulau rakan kerana ditempatkan di kelas keempat dan terakhir.

Ibu mangsa, B. Thanamalar, mendakwa, anaknya itu mengadu telah meminum racun serangga perosak yang disimpan di dalam rumah pada kira-kira pukul 9.30 malam.
"Dia datang kepada saya dan beritahu tekaknya terasa pedih sebab minum racun. Mungkin dia sangat tertekan kerana teringat kepada bapanya.

"Saya cepat-cepat bawa dia ke Hospital Serdang. Semasa 15 minit dirawat, dia disahkan mati selepas batuk darah," katanya semasa ditemui pemberita di rumahnya di Bandar Rinching di sini semalam.

Dalam pada itu, ibu saudara mangsa, B. Ananthi, 47, mendakwa, rakan sekelas mangsa mengejek dan memulau Kavinraj setiap hari.
Keadaan itu menyebabkan anak saudaranya itu mengalami masalah kemurungan.

"Kawan-kawan dia ejek, budak pandai tak ada ayah, mana boleh duduk kelas ini, pergi masuk kelas budak pandai. Tak sangka dia sangat tertekan dengan ejekan itu," katanya.
Beliau menjelaskan, Kavinraj ada mengadu yang dia dibuli di sekolah dan ibunya telah menasihatkannya supaya bersabar.

Katanya, anak saudaranya itu juga mengadu kepada gurunya supaya ditukarkan kelas dan gurunya meminta supaya tunggu pada hari Isnin lepas.

"Dia ada memaklumkan perkara itu kepada ibunya semasa pulang dari sekolah pada Khamis lalu tetapi pada malam Jumaat, dia minum racun," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com