Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Selasa, 15 November 2011

Susu punca keracunan makanan...!!!

Kongsi Di Pesbuk
susu
Program Susu 1Malaysia (PS1M) yang dilancarkan pada 16 Sept, 2011 merupakan program susu percuma untuk diedarkan kepada 273,459 murid di 1,462 sekolah. Program susu percuma ke sekolah memang pernah dijalankan suatu ketika dahulu tetapi ia diberhentikan kerana terdapat murid mengalami keracunan makanan setelah meminumnya.

Salah satu tujuan program ini ialah dengan harapan dapat membantu murid sekolah meningkatkan status gizi dalam tubuh. Selain itu ia dilihat secara langsung membantu peningkatan ekonomi pembekal susu tempatan.

Susu lembu dianggap sesetengah pihak sebagai salah satu makanan super. Sebab itulah lebih dari 50 negara seluruh dunia menjalankan skim susu percuma untuk pelajar sekolah. Antara negara terlibat ialah Thailand, Iran, United Kingdom, New Zealand dan Palestin.

Bernama melaporkan bahawa pengalaman di Thailand menunjukkan skim ini berjaya mengurangkan masalah kekurangan zat seimbang daripada 20 peratus kepada hanya 9 peratus. Selain itu ia didapati meningkatkan purata pertambahan ketinggian murid daripada 2 cm ke 5 cm setahun.

Keraguan orang ramai

Kanak-kanak dan ibu bapa berasa ragu untuk memanfaatkan program ini ekoran kejadian beberapa siri keracunan makanan serta pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap skim ini. Keracunan makanan memberi kesan bukan sahaja kepada kesihatan tetapi secara psikologi dan emosi kanak-kanak yang terlibat dan ibu bapa mereka.
Keracunan makanan boleh dialami sesiapa sahaja. Simptom seperti loya, muntah, sakit perut dan ceret-beret biasanya berlaku secara serta-merta atau dalam tempoh 48 jam selepas mengambil makanan tertentu. Simptom lain yang bergantung kepada jenis pencemaran ialah demam panas, menggigil, najis mengandungi darah dan kekurangan air. Jika tidak dirawat dengan sempurna ia akan menyebabkan kerosakan sistem saraf.

Susu yang dibekalkan untuk program susu percuma dikatakan bebas daripada kuman kerana ia telah menjalani proses pempasteuran suhu tinggi (ultra high temperature - UHT) iaitu susu didedahkan pada suhu antara 135-140 darjah Celsius selama 10 saat. Proses ini dikatakan berupaya membunuh semua bakteria. Proses menyahkan kuman ini dikatakan memanjangkan jangka hayat susu hingga 10 bulan sejak tarikh ia diproses.

Susu UHT kemudiannya diisi dalam kotak terdiri dari tiga lapisan bahan iaitu polyethylene, kertas dan aluminium. Bahan tersebut menyumbang sifat tertentu seperti kalis air, kekukuhan dan kestabilan struktur kotak. Ia juga mengelakkan susu daripada pancaran cahaya matahari, oksigen dan bau-bauan.

Sebulan setengah selepas PS1M dilancarkan, tiba-tiba berlaku keracunan makanan di Sekolah Kebangsaan Seri Bakti, Padang Terap, Kuala Nerang. Seramai 24 murid di sekolah tersebut telah mengalami ceret-beret, sakit perut dan muntah.

Susu yang dibekalkan dikatakan masih baru dan belum sampai tarikh luput. Murid yang dipercayai mengalami keracunan makanan tersebut dikatakan mula mengalami sakit perut, ceret-beret dan muntah sejam setengah selepas minum susu yang dibekalkan.

Pembiakan bakteria

Jika benar proses UHT membunuh semua bakteria serta teknik pengendalian, teknik pembungkusan dan jenis bungkusan cukup berkesan bagi mengelakkan pencemaran bakteria mengapa masih terdapat murid-murid sekolah yang mengalami keracunan makanan? Hasil ujian terhadap susu sama ada benar-benar mengandungi bahan/bakteria pencemar yang jarang dipaparkan dalam media. Pada pandangan penulis ia dipercayai berpunca dari spora bakteria jenis Bacillus. Spesies bakteria Bacillus dikatakan jarang ditemui dalam susu segar kerana terdapat flora mikro lain yang mengimbangi populasinya. Berbelas-belas spesies bakteria Bacillus telah dikenal pasti. Yang membezakan bakteria ini dengan jenis yang lain ialah proses UHT tidak berupaya merosakkan atau memusnahkan sporanya.

Terdapat pelbagai kajian berkaitan spesies bakteria Bacillus ini. P Scheldeman dan sekumpulan rakannya telah menjalankan kajian terhadap Bacillus sporothermodurans dan spesies lain. Beliau melaporkan kajian berjudul Bacillus sporothermodurans and other highly heat-resistant dalam Journal of Applied Microbiology (25 April, 2006) di http://preview.alturl.com/rr6jq
UHT dikatakan dapat memusnahkan semua bakteria. Namun ia tidak mampu memusnahkan spora-spora berbelas spesis Bacillus. Sebahagian dari spesis bacillus didapati tidak berbahaya kepada manusia manakala beberapa spesis seperti Bacillus sporothermodurans dan B. cereus dikatakan sebagai punca keracunan makanan.

Spora bakteria Bacillus yang tidak terjejas proses UHT tidak menjalani transformasi kepada bakteria dalam susu yang dibungkus dalam kotak susu khas. Kemungkinan susu steril ini akan tercemar ialah 1 dalam 1,000 bungkus atau 1 dalam 10,000 bungkus. Jadi kemungkinan kotak akan menggelembung serta susu bertukar rasa atau warna kerana aktiviti pembiakan bakteria adalah amat rendah.

Apa akan terjadi kepada spora bakteria selepas beberapa ketika susu UHT diminum? Bersambung minggu hadapan.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com