Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Isnin, 28 Januari 2013

KUSWADINATA MAKIN UZUR

Kongsi Di Pesbuk


Kamariah mengelap suaminya Kuswadinata yang terlantar di rumahnya di PPR Hiliran Ampang.


Walaupun dalam keadaan semakin uzur, Kuswadinata atau nama sebenarnya, Kuswadi Bujang, 74, dilihat masih bersemangat untuk kembali pulih walaupun sebenarnya penderitaannya hanya empunya diri yang tahu. Kuswadinata dikesan mengalami penyakit kanser prostat, komplikasi pendarahan ulser usus, buah pinggang kanan rosak dan kanser kelenjar.
Khamis lalu, B*POP berkesempatan menziarahi Kuswadinata di kediamannya di PPR Hiliran Ampang.

Wakil B*POP disambut isterinya, Kamariah Mohd Said, 57. Sewaktu kunjungan itu, Kuswadinata dilihat hanya berbaring dan sesekali membuka mata, selain ada kalanya sempat menjeling ke arah isterinya yang sedang ditemubual.

“Keadaan kesihatan Abang Kus tidak banyak berubah sejak akhir-akhir ini. Baru-baru ini, dia dimasukkan ke Hospital Ampang selama empat hari kerana mengalami sesak nafas.

Kalau ikutkan, Abang Kus sendiri sudah tidak mahu ke hospital kerana sudah bosan keluar masuk hospital, namun terpaksa dimasukkan ke hospital juga berikutan mengalami sesak nafas yang teruk,” katanya.

Organ dalaman banyak rosak 
Tambah Kamariah walaupun keadaan suaminya dilihat tidak terlalu teruk tapi organ dalamannya sudah banyak rosak. Keadaannya yang lemah juga menyebabkan rawatan tidak boleh dilakukan lagi.

“Abang Kus hanya sempat membuat rawatan kimoterapi dua kali dan rawatan hemodialisis juga tidak dapat dilakukan lagi kerana keadaannya yang terlalu lemah dan mungkin akan menyebabkan kesan kepada jantung pula. Doktor hanya menyarankan supaya beliau berehat di rumah. Sekarang pun sekiranya makan, dia akan muntah kembali kerana badannya sudah tidak mampu menerima.



Guna penyedut minuman

“Namun begitu, kadang kala, ada juga dia minta makanan, tapi tidak boleh dipaksa untuk makan dan hanya diberikan makanan menggunakan penyedut minuman,” katanya.

Kuswadinata sebelum itu pernah menjalani pembedahan saluran darah pecah pada 2008 dan kesan pembedahan itu membuatkan buah pinggang kiri rosak sehingga tidak boleh digunakan lagi. Selepas itu, sejak 29 Julai tahun lalu, Kuswadinata kerap menerima rawatan di hospital selepas buah pinggang membengkak.

Walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, kehadiran tetamu yang datang melawatnya sedikit sebanyak memberikan Kuswadinata semangat.

“Minggu lepas rombongan pelakon veteran dari Singapura seperti Zaiton, Wahid Satay dan Hashimah Yon singgah ke rumah selepas menghadiri Malam Penghargaan Tokoh Perfileman Malaysia dan dia masih mampu mengenali semua pelakon terbabit.

Apabila ada tetamu terutama rakan-rakan pelakonnya datang melawat dia nampak suka untuk bercerita tetapi tidak dapat banyak bercakap, namun dalam keadaan sekarang menyebabkan dia mudah menjadi sesak nafas.

“Saya lihat semangatnya masih lagi kuat untuk melayan penyakit yang dihadapinya.

Mungkin untuk melihatnya kembali sihat sepenuhnya seperti dulu agak sukar. Tapi saya berharap peminat sentiasa mendoakan kesihatan Abang Kus.

“Kami sekeluarga juga hanya berserah kepada Tuhan kerana sebelum ini doktor pernah memberitahu keadaan Abang Kus terlalu kritikal pada Oktober tahun lalu hinggakan doktor meminta saya memanggil anak-anak dan sanak saudara untuk datang melawatnya,” katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com