Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Jumaat, 11 Januari 2013

Sharnaaz akui kongkong Shila

Kongsi Di Pesbuk


TAHUN lepas banyak cerita kurang enak yang dikaitkan dengan bintang drama bersiri Bukan Bidadari ini, Sharnaaz Ahmad atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad ini.


Pada awal tahun lalu, nama anak kelahiran Pulau Pinang itu dikatakan tidak berdisiplin apabila dengan begitu sahaja meninggalkan set penggambaran drama bersiri, Bicara Hati.
Walaupun dia telah menjelaskan keadaan sebenarnya, Sharnaaz tetap terpalit dengan satu lagi kontroversi yang seakan-akan sama apabila dia bertindak nekad meninggalkan set penggambaran filem Darah Panas terbitan White Merpati Entertainment Sdn. Bhd. pada 5 Oktober lalu.
Kontroversi itu semakin panas apabila nama Shila Amzah turut terbabit sama apabila dikhabarkan Sharnaaz berbuat demikian kerana tergesa-gesa ingin bertemu dengan buah hatinya yang ketika itu bakal bertolak ke China untuk pertandingan Asian Wave 2012.
Perkara itu terjadi apabila dia didakwa menolak dan mencengkam leher penolong pengarah filem itu iaitu Mohd. Hafiz Mat Ishak kerana marah menunggu lama mendapatkan pakaian penggambaran dan terpaksa menyudahkan penggambaran lewat.
Akibatnya, penerbit filem tersebut, S. Baldev telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Sharnaaz dan meminta jejaka kacak itu memohon maaf secara terbuka dalam media.
Tidak terhenti begitu sahaja kontroversi berkaitan Sharnaaz, hubungan cintanya dengan Shila turut mendapat perhatian sehinggalah isu Twitter yang ditulisnya selepas majlis Anugerah Planet Muzik 2012 yang berlangsung di Singapura akhir tahun lalu.
Tulisannya yang agak keras terhadap buah hatinya telah menimbulkan rasa kurang senang peminat tetapi Sharnaaz cepat menjelaskan keadaan mengatakan bahawa Twitternya itu telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.


FIGURA kacak ini berazam mahu memfokus terhadap kerjayanya sepanjang tahun 2013 ini.



Sejak kontroversi tersebut, Sharnaaz seolah-olah menghilangkan diri daripada pihak media, sehinggalah dia ditemui pada majlis pratonton media filem Juvana di E@Curve, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur kelmarin.
Sengaja menebak Sharnaaz dengan soalan supaya dia mengulas tentang kenyataan Shila yang dibuatnya pada penghujung tahun lepas.
Shila sebelum ini telah mengumumkan bahawa dia tidak lagi akan bercerita soal percintaannya dengan Sharnaaz secara terbuka dan ingin menumpukan terhadap kerjaya seninya yang semakin memuncak atas nasihat bapanya, ND Lala.
Sharnaaz ternyata seorang yang bersifat terbuka dan dengan senang hati memberikan ulasan terhadap pendirian Shila itu.
"Tahun ini saya nak fokus kerja begitu juga Shila, saya dengan kerja saya, Shila dengan kerja dia. Kalau Shila tidak mahu bercakap soal cinta pada tahun ini, saya mahu cakap soal kahwin, awak tanya dia," ujarnya secara berjenaka.
Sharnaaz menjelaskan lagi, segala kontroversi yang berlaku pada tahun lalu adalah perkara yang tidak dirancang dan dia juga tidak dapat mengelakkan diri daripada apa yang telah berlaku itu.
Tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan mengungkit perkara lalu, dia kini mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya lakonannya yang semakin mendapat perhatian ramai penerbit dan pengarah terkenal termasuk Khabir Bhatia.
Kongkong Shila
Ditanya tentang satu lagi gosip panas yang mewarnai hubungannya dengan Shila iaitu soal dia mengongkong penyanyi lagu Patah Seribu itu, Sharnaaz tidak melatah.

LUCU. Dilabelkan sebagai lelaki psiko, Sharnaaz sebenarnya mempunyai sisi humor dalam dirinya.



Dia sebaliknya dia sudi memberikan jawapan dengan penuh profesional.
"Memang saya mengongkong Shila kerana dia bakal menjadi isteri saya dan kami amat serius dengan hubungan yang dijalinkan ini. Jika dia hanya teman wanita biasa saya, mungkin saya tidak perlu peduli dengan apa yang dia lakukan tetapi dia adalah bakal isteri saya," tegasnya.
Tidak mahu lagi fokus kepada percintaan sahaja pada tahun ini, Sharnaaz berikrar untuk mengurangkan kontroversi dan mahu menumpukan terhadap rezeki lakonan yang semakin mencanak.
Filem pertamanya, Juvana yang bakal ditayangkan pada 24 Januari ini, dia membawakan watak antagonis bernama Lan Todak.
Ia merupakan sambungan drama bersiri, Juvana yang mendapat sambutan luar biasa pada tahun 2011 dengan episod akhirnya ditonton seramai 4.3 juta penonton.
Dalam filem arahan Faisal Ishak itu, Sharnaaz memegang watak sebagai Lan Todak di samping pelakon lain seperti Johan As'ari, Zahiril Adzim, Syazwan Zulkifly dan Syafie Naswip.
Watak Lan Todak itu dibawa oleh Sharnaaz dengan cukup berkesan sekali apabila mempunyai sikap pendendam terhadap bekas pelatih pusat pemulihan remaja Wira Bakti iaitu Botak, Kicap, Daim, Apek, Ayam, Komeng dan Panjang yang merupakan barisan watak dalam drama bersiri Juvana sebelum ini.
Kata Sharnaaz, karakter Lan Todak itu diilhamkan oleh dirinya sendiri dengan mendapat persetujuan Faisal.
"Pada awalnya, Faisal terkejut apabila saya ingin melakonkan Lan Todak sebegitu rupa tetapi apabila kali pertama mencubanya di hadapan kamera, akhirnya itulah babak pertama saya," ujarnya.
Mengakui Lan Todak juga tidak disukai oleh Shila sendiri, dia berharap watak itu dapat diterima dan dia membawa watak antagonis itu sebegitu rupa bagi tidak memalukan Khabir yang telah memberi sepenuh kepercayaan kepadanya.
"Saya tidak akan malukan Faisal dengan Khabir, saya tahu kerja mereka macam mana, jadi saya kena tunjuk yang terbaik," ujarnya.
Tidak kisah dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa dirinya psiko, bagi Sharnaaz, setiap manusia ada sikap tersebut dalam diri masing-masing.
"Setiap manusia ada sifat psiko sendiri, tetapi antara hendak ditonjolkan atau tidak, peluang nak tonjolkan satu watak dengan berkesan hanya datang sekali. Psiko Lan Todak hanya dalam lakonan semata-mata," jelasnya.
kosmo

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com