Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Isnin, 14 November 2011

AIM 18 iktiraf bakat Najwa...!!!

Kongsi Di Pesbuk
Najwa Mahiaddin
Kemuncak Anugerah Industri Muzik (AIM18), Sabtu lalu di Stadium Bukit Jalil menyaksikan karyawan muzik tanah air mendapat pengiktirafan melalui hasil karya mereka.

Selain Yuna yang berjaya menggondol tiga anugerah iaitu Lagu Terbaik (Penakut), Vokal Wanita Terbaik), Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita) dan Anugerah Kembara, tumpuan juga pastinya diberikan kepada pendatang baru, Najwa Mahiaddin.

Bakat anak seni berusia 25 tahun itu, ternyata tidak boleh dipertikaikan, apabila dia merangkul anugerah Artis Baru Terbaik, sementara lagu ciptaannya sendiri, Got To Go memenangi kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

Sebelum detik kemenangannya, Najwa terlebih dahulu, memukau penonton di dalam stadium dengan persembahan pembukaan.

Bagi penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini, dia tidak menjangkakan kemenangan itu sementelah saingan malam itu iaitu Reza Salleh, James Baum, Kyota Protocol, dan Project Pistol juga bukan calang-calang.

“Jujur saya ingatkan Reza Salleh yang akan menang. Calon-calon lain juga tidak kurang hebatnya kerana mereka turut menghasilkan lagu sendiri.

“Alhamdulillah, sudah rezeki saya dan sudah tentu saya terharu dan gembira apabila mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) di majlis berprestij sebegini,” katanya kepada Zass.

Menurut Najwa, kedua-dua anugerah tersebut memberi makna istimewa buatnya sebagai penyanyi dan juga komposer yang menghasilkan sendiri kesemua lagu di dalam album pertamanya, Innocent Soul.

“Bukan sekadar memenanginya sebagai artis, malah saya juga menerima anugerah ini sebagai pencipta lagu dan penulis lirik.

“Kemenangan ini akan saya jadikan sebagai pemangkin semangat untuk terus menghasilkan lebih banyak karya bermutu,” katanya.

Malah, Najwa berharap pengiktirafan itu dapat membuka jalan buat irama neo-soul dan jazz yang diperjuangkannya untuk terus berkembang di Malaysia.

Selepas kemenangannya itu, Najwa yang kini menuntut di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat dalam bidang seni muzik sudah merangka rancangan untuk tampil dengan album kedua.

“Genre untuk album baru tidak lari jauh sangat, namun saya berhasrat memasukkan elemen lain seperti elektro, misalnya bagi menghasilkan bunyi yang berbeza.

“Bagaimanapun, proses pembikinan mungkin bukan dalam masa terdekat kerana saya perlu memfokuskan pada pelajaran terlebih dahulu,” katanya yang mempunyai baki pengajian selama setahun lagi.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com