Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Jumaat, 11 November 2011

Empat maut, lima parah treler rempuh bas rombongan sekolah...!!!

Kongsi Di Pesbuk
Empat maut, lima parah treler rempuh bas rombongan sekolah

SLIM RIVER - Empat maut, tujuh cedera parah manakala 22 cedera ringan apabila sebuah bas membawa rombongan Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah terbabas dirempuh sebuah treler di Kilometer (KM) 382 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River, awal pagi tadi.

Mereka yang maut dikenali sebagai Maysara Zaidi, 15, Khairul Anwar Azhan,15, Siti Hajar Mohammed, 33, merupakan pelajar dan guru manakala seorang orang awam, Basarah Saad, 45.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superitendan Md Tahir Kasim berkata, kejadian kira-kira jam 5 pagi melibatkan sebuah bas persiaran membawa 36 pelajar, tiga guru dari Kulim, Kedah ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila bas persiaran itu dipercayai terbabas lalu melintang jalan di lorong sebelah kiri lebuh raya.
Katanya, ketika usaha-usaha menyelamatkan pelajar dan guru dilakukan orang awam, sebuah treler membawa muatan pasir dari arah sama merempuh di bahagian sisi bas menyebabkan kenderaan tersebut terbalik.

“Keempat-empat mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah serta lemas di bawah timbunan guni pasir,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Slim River, di sini semalam.
Md Tahir berkata, kemalangan itu mengakibatkan tujuh penumpang bas berkenaan mengalami kecederaan parah dan di rawat di wad Hospital Slim River dan sebahagian di hantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

Katanya, mangsa cedera parah dikenali sebagai Mohd Azim Dahlan, 15, Mohd Faisal Anuar, 15, Mohammad Sariffuddin, 15, Abdul Rahman Danial Abdul Ghani, 15, Rosilawati Mat Rifim, 40, Azriah Hani, 31 dan anak Azriah, Izdi Haikal Khairul Shah, lima tahun.

“Rosilawati, Izdi Haikal dan Abdul Rahman Danial dihantar untuk menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan selebihnya di wad Hospital Slim River. Manakala 22 mangsa yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Slim River," katanya.

Md Tahir berkata, Basarah adalah penumpang sebuah bas lain yang berhenti untuk membantu mengeluarkan pelajar di dalam bas yang terbabas itu sebelum nahas itu berlaku dan punca kejadian masih disiasat dan dipercayai bas itu terbabas disebabkan faktor kecuaian.

Pemandu bas berusia 25 tahun dan pemandu treler kini ditahan polis untuk siasatan manakala kedua-dua kenderaan berkenaan turut dibawa ke Balai Polis Slim River, katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com