Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Ahad, 13 November 2011

Hero Rock n Roll...!!!

Kongsi Di Pesbuk


SEMUA cerita ini bermula dengan satu langkah dan tekad. Visualkan empat pemuda kacak dengan gelora jiwa rock menderap kaki masuk ke dalam sebuah kelab yang terletak di Medan Tunku, Kuala Lumpur. Pandangan itu melekat hingga kini di bebola mata pengurus Red Rooster, sebuah kelab terkenal di kalangan penggemar muzik rock suatu ketika dahulu.

"Tahun 1981, empat anak muda dari Johor Bahru mencuba nasib di Red Rooster. Salah seorangnya seperti Steven Tyler (Aerosmith). Mereka memainkan tiga buah lagu dengan penuh tenaga sebagai permulaan," Cipie, pengurus Red Rooster menvisualkan kenangannya.

Itu permulaan untuk sebuah grup gergasi bernama Search. Itu pangkal sebuah fenomena yang mereka cipta dan kekalkan hingga kini. Fenomena yang bukan calang-calang.

Membawa fenomena

Fenomena ciptaan Search sepanjang 30 tahun bergelar anak seni akan dipentaskan kembali. Kenangan lalu bakal dikongsi atas tiga pentas dan tiga daerah sebagai tanda penghormatan dan perkongsian dengan peminat tegar Search.

Jiwa dan momen bakal bersilih ganti dengan repertoire lagu yang didendangkan. Ini bukan hanya sebuah konsert suka-suka tetapi sebuah pengabadian satu lagi kenangan untuk mereka yang sudah berbelas tahun mengikuti jurnal kehidupan muzik grup Search.

"Pengertiannya besar," empat kali Nordin Taib selaku gitaris kedua Search mengucapkan kalimat itu sewaktu ditanya tentang erti 30 tahun buat dirinya.

"Ini bukan pengakhiran tetapi permulaan semula. Daripada zero kepada hero," Nordin atau Din mengungkapkan bahawa dulu umum melabelkan pemain muzik dengan pandangan negatif, tiada masa hadapan malah tidak boleh hidup. Tetapi sejarah Search membuktikan kebenarannya sendiri.

Sambung adiknya, Hamzah Taib atau Kid: "Ada pepatah mengatakan bahawa 'play the best as you can like there is no tomorrow.' Itu yang kami buktikan. Ambil kata ini secara positif dan fokus."

Sambung pemain dan pemilik 10 buah gitar Wolfgang tersebut: "Search bagi saya ialah sebuah platform untuk kami secara individual juga. Malah membuktikan usaha tulen kami sebagai karyawan dalam memberi sumbangan kepada orang ramai. Saya berbangga kami ada pencapaian serta sesuatu untuk dibuktikan."

Bermula dengan Cinta Buatan Malaysia pada 1985 hinggalah album Gothic Malam Edan (2006), karya mereka terus hidup dalam minda khalayak. Lagu-lagu mereka terus terukir cantik dalam hati peminat mereka.

"Ini sebuah perjalanan jauh dengan permulaan yang kosong.

Sesuatu yang tidak datang dengan cara yang mudah. Tidak kami rancangkan," ujar Nasir Daud, pemain bass yang pernah meninggalkan Search seketika pada 1990 selepas album Karisma dikeluarkan.

Fenomena dan Isabella


BUAT Search, konsert Fenomena ialah satu pernyataan bahawa mereka terus berada dalam industri dan pernah memahat sejarah muzik tersendiri.



Selain mencipta sejarah yang mencetuskan pelbagai fenomena dalam industri seni tempatan, perkataan itu sendiri berhubung secara dekat dengan perjalanan Search.

Album Fenomena yang dikeluarkan pada 1989 ialah titik nadir kepada segala transformasi Search. Album yang terjual lebih 200,000 unit di Malaysia dan 600,000 unit di Indonesia itu merupakan album studio pertama Search yang dikeluarkan dalam bentuk cakera padat.

"Itu sebabnya kita guna perkataan Fenomena untuk konsert ke-30 tahun kami. Album itu membawa pelbagai fenomena serta perubahan dalam hidup kami. Album pertama dalam bentuk cakera padat, album yang membawa kami 'menyerang' industri muzik Indonesia. Album yang membawa pelbagai hal buat Search yang sebenarnya kami tidak rasa atau perasan," ujar Nasir tentang fenomena, suku kata yang diberikan oleh Datuk M. Nasir untuk album keempat Search.

"Isabella juga dirakam dalam 15 hingga 20 versi," sambung Nasir pendek tapi penuh erti tentang album Fenomena yang mengandungi lagu Isabella, Pawana, Fenomena dan Bencana.

Meniti titian sejarah Isabella yang terpahat hebat, sang vokalis yang tidak pernah kalah gaya, Amy memberitahu bahawa, lagu Isabella meletakkan Search pada satu tahap yang mereka inginkan, malah satu klimaks buat kumpulan itu. Amy bercerita tentang Isabella, sebuah kisah cinta buat dua dunia - Search dan peminat mereka.

"Isabella buat Search berada pada tahap yang diingini dan kekal di situ. Itu sebuah pengiktirafan untuk sebuah grup rock. Malah itu merupakan tanda aras untuk kami untuk melangkah lebih baik. Itu ditandai dalam diari perjalanan kami," senyum Amy yang mengiakan bahawa Isabella bukan hanya memanjangkan populariti mereka malah mendatangkan demam buat khalayak.

Secara jujur Amy menyatakan lagu tersebut boleh diangkat sebagai lagu keramat kerana ia berjaya merubah arus muzik Indonesia suatu masa dahulu.

Maka arus itu yang mahu Search bawakan terus. Bermula tarikh 19 November di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang kemudian menuju selatan di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 3 Disember dan barangkali di Padang Astaka, Kuala Lumpur pada 17 Disember, ini adalah waktu dan tempat tentera-tentera Search akan melabuhkan peluru muzik mereka.

Silih ganti 'tentera muzik' sesuatu hal normal dalam sebuah kugiran, ujar Nasir. Tambahnya, konsert 30 tahun ini akan menghadirkan arkitek sebenar Search.

Sistem bunyi yang ala kadar sering menjadi mimpi ngeri buat penonton konsert.

"Kita pesan betul-betul dengan pihak penaja iaitu Oracle Accord bahawa Search mahukan sistem bunyi yang terbaik. Malah jurutera bunyi kami iaitu Yamaguchi turut membuat permintaan untuk memastikan bunyi yang keluar nanti gah dan enak didengar. Perkara lalu membuat kami lebih menitik beratkan perkara ini," ujar Yazid yang sedar dengan kelemahan konsert-konsert sebelum ini.

Bakal lahir lagi sebuah fenomena untuk diari Search. Fenomena untuk sebuah group yang mempunyai koleksi lagu yang tidak pernah pudar dan mampu menembusi generasi.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com