KUALA LUMPUR: Mayat Adrian Jay Pereira, 22, pelajar jurusan perubatan di Universiti Brawijaya, Malang, Indonesia, yang maut selepas ditetak penjenayah di rumah sewanya di Malang, Jawa Timur, dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Klang, Selangor, hari ini.
Setiausaha Pertama (Pendidikan) Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun, ketika dihubungi, berkata mayat mangsa dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.15 petang ini.
Katanya, mayat dibedah siasat di Hospital Saiful Anwar, Malang, Indonesia, dan diberi penghormatan terakhir di sebuah dewan di Universiti Brawijaya jam 4.30 petang waktu tempatan, semalam.
“Mayatnya terlebih dulu disimpan di Lapangan Terbang Juanda pada jam 10.50 malam ini (11.50 malam tadi waktu Malaysia) sebelum tiba di Kuala Lumpur esok (hari ini),” katanya yang menyertai misi penghantaran pulang itu.
Menurut Ludinata, pihaknya kini menguruskan semua urusan dokumentasi dan bapa saudara mendiang berada di Malang membantu menguruskan penghantaran pulang itu. “Kejadian ini kes jenayah sepenuhnya. Semua kos penghantaran pulang ditanggung Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia (PKPMI) Pusat, Khairul Hafidz menyifatkan insiden kematian Adrian kejadian yang tidak diduga.
Menurutnya, biarpun terkejut dengan berita itu, beliau memberi jaminan keselamatan semua pelajar Malaysia di Indonesia terjamin berikutan polis, pihak berkuasa tempatan dan pihak universiti sudah dimaklumkan perkara itu.
“Keselamatan pelajar kita di Indonesia sehingga kini dijamin selamat kerana kes kematian ini yang pertama kali dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Menurut Khairul, sehingga kini lebih 6,000 pelajar Malaysia mengikuti pengajian di universiti di negara itu membabitkan 16 cawangan, dengan 173 pelajar di Universiti Brawijaya dan kebanyakan mereka tinggal di rumah sewa.
0 ulasan: