
SEREMBAN – Seorang pemandu lori yang membawa muatan minyak sawit, maut dalam kemalangan di Kilometer 254.4, Lebuhraya Utara- Selatan (arah Utara), Senawang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, K Silvom, 46, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di anggota badan.
Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu mangsa terbabas sebelum merempuh pengadang jalan, menyebabkan kenderaannya terbalik.
“Mangsa dari Johor Bahru, dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang, Selangor dan kemalangan ini tidak melibatkan kenderaan lain,” katanya.
Pegawai turus trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan telah dituntut keluarganya.
“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kami minta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerusi talian ,” katanya.


0 ulasan: