Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Rabu, 9 November 2011

Search: 30 tahun penuh makna...!!!

Kongsi Di Pesbuk

Kumpulan rock Search sudah berusia 30 tahun. Satu usia yang sangat matang dalam mengharungi dunia muzik yang serba mencabar. Namun mereka masih teguh berdiri dan masih relevan dengan peminat hari ini.

Pasti ada sesuatu yang berharga dalam kumpulan ini yang membuatkan mereka terus kukuh walaupun pelbagai arus muzik masuk dan menguasai pasaran. Search tetap di sini. Sebagai hadiah mereka akan mengadakan konsert istimewa dinamakan Konsert Fenomena 30 Tahun Search.

Mereka akan mengadakan konsert di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 19 November, Stadium Larkin, Johor (3 Disember) dan konsert penutup di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 17 Disember ini.

"Mencecah usia 30 tahun sesuatu yang sangat bermakna buat kami. Semasa kami mengadakan persembahan ulang tahun kesepuluh, kami tak dapat bayangkan berapa lama kami akan bertahan.
Kami tak buat konsert ulang tahun ke-25, jadi konsert ini sangat bermakna buat kami.

"Kami mahu memberi hadiah kepada peminat, sebab itu kami berusaha menghadiahkan penonton bertuah sebuah kereta Perodua Viva 660 BXA di setiap lokasi. Selain itu, kemasukan banyak penaja membuatkan kami mampu memberikan doorgift kepada mereka.

"Semua pembeli tiket akan berpeluang memenangi kereta, mendapat kemeja-T istimewa Search serta aneka barangan dan makanan," kata penyanyi utamanya Amy.

Amy juga menjanjikan persembahan terbaik sebab mereka juga sangat teruja dengan konsert ulang tahun ini. Mereka merancang menyanyikan 30 buah lagu tanpa adanya lagu-lagu secara medley.

Penganjur Indonesia berminat
Amy juga memberitahu pihak mereka mendapat perhatian penganjur di Indonesia yang mahu membawa mereka mengadakan konsert di sana.

Mereka teruja dengan perkembangan itu dan sekiranya segala perancangan menjadi kenyataan, Search akan mengadakan konsert di sana tahun depan.

"Apabila mengetahui Search sedang mengadakan konsert ulang tahun ke-30, mereka juga berminat untuk membuat tour di sana.

"Kami memang mahu mengadakan konsert di sana lagi kerana semasa saya ke Jakarta untuk memenuhi undangan sebuah program televisyen baru-baru ya sangat menggalakkan.

"Saya sepatutnya dijadualkan untuk muncul dalam tiga program sahaja, tapi apabila pihak sana tahu saya ada di Jakarta saya berjaya muncul dalam sembilan program. Ada beberapa program terpaksa ditolak kerana kesuntukan waktu.

"Peminat di sana masih mengenali Search dan lagu Isabella masih menjadi siulan mereka," kata Amy yang kali terakhir mengadakan konsert di sana sekitar 1992.

Lagu Isabella sangat kuat di sana sehingga ada yang mengatakan lagu itu telah sebati dengan jiwa mereka. Kerana fenomena lagu Isabella juga membuatkan nama Search terus diingati walaupun telah lama tidak ke Jakarta.

Amy juga menyimpan satu lagi impian yang belum jadi nyata iaitu mendapat tempat di Jepun. Itulah impiannya dan dia belum tahu bagaimanakah caranya mereka akan ke sana.

"Kalau dapat menyanyikan sebuah lagu di sana pun saya rasa impian saya sudah tercapai," kata Amy lagi.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com