Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Ahad, 25 September 2011

Punca kematian terungkai..!!!

Kongsi Di Pesbuk

KOTA BHARU - "Kami reda dan terima dengan hati terbuka selepas doktor pakar mengesahkan punca kematian adik saya adalah akibat dihempap pokok dan bukannya dipukul orang."
Demikian jelas Wan Alzubir Wan Daud, 27, abang kepada Wan Mohd. Helmi (gambar), 24, yang mati selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat dihempap pokok ketika ribut dalam kejadian berhampiran hentian rehat dan rawat (R&R) Gua Musang pada Selasa lalu.
"Jenazah adik saya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk dibedah siasat semalam (kelmarin) dan semuanya selesai kira-kira pukul 2 pagi tadi (semalam).
"Menurut doktor yang melakukan bedah siasat, adik saya mengalami kecederaan parah di kepala dan kesan kecederaan tersebut adalah akibat dihempap pokok bukannya dipukul oleh orang," katanya ketika dihubungi semalam.
Kosmo! semalam melaporkan bahawa keluarga Wan Mohd. Helmi telah membuat laporan polis selepas meragui punca kematiannya selepas seorang rakan kepada mangsa mendakwa dia mati akibat dipukul.
Pada hari kejadian Selasa lalu, Wan Mohd. Helmi yang mengalami kecederaan parah dihempap pokok telah dihantar ke Hospital Gua Musang sebelum dikejarkan ke HUSM, Kubang Kerian dekat sini dan meninggal dunia kira-kira pukul 5 pagi kelmarin.
Wan Alzubir memberitahu, jenazah adiknya itu telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bintang, Setiu, Terengganu dan selamat dikebumikan kira-kira pukul 9 pagi semalam di tanah perkuburan Islam di kampung tersebut.
Menurutnya, dia dan ahli keluarga lain termasuk ibu kini lebih tenang selepas mengetahui punca sebenar kematian Wan Mohd. Helmi yang berpunca daripada ditimpa pokok dan bukannya dipukul.
"Ibu saya juga nampaknya sudah lega dan boleh menerima kenyataan serta lebih tenang selepas keputusan bedah siasat diperoleh.
"Kami hanya mahukan kebenaran dan sekarang segala-galanya sudah selesai," katanya.
Mengenai laporan polis yang dibuat, dia dan keluarga menyerahkannya kepada pihak polis sama ada untuk meneruskan siasatan atau sebaliknya tetapi pengesahan daripada doktor itu sudah memadai kepadanya dan keluarga.
 

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com