Saya Sayang Malaysia

Pengikut

Isnin, 19 September 2011

Tercampak selepas keluar hotel..!!

Kongsi Di Pesbuk 
IT CHENG yang dirawat di Hospital Sungai Golok semalam
menunjukkan tangannya yang cedera selepas terkena
letupan bom di bandar tersebut pada Jumaat lalu.


SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand) - Seorang mangsa kejadian letupan bom di bandar Sungai Golok, Lai Yoke Long menganggap dia umpama mati hidup semula selepas terselamat walaupun hanya berada kira-kira 20 meter dari tempat insiden tersebut berdekatan Hotel Merlin di sini pada malam Jumaat lalu.
Yoke Long, 42, yang datang ke bandar itu bersama seorang rakan, sebelum itu kecewa kerana bilik hotel itu yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia telah habis ditempah.
"Saya kemudian keluar dari hotel itu untuk cari bilik di tempat lain dan sewaktu berjalan di sebelah sebuah kereta, kami dikejutkan dengan bunyi letupan bom," kata Yoke Long ketika ditemui di Hospital Sungai Golok semalam.
Yoke Long yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor dan bekerja di sebuah lombong emas di Tanah Merah, Kelantan memberitahu, selepas letupan dia mendapati badannya berlumuran darah dan terus lari mendapatkan perlindungan di sebuah restoran berhampiran.
"Mujurlah ada beberapa orang dalam kedai makan itu membantu dengan menghantar saya ke hospital," katanya yang mengalami kecederaan di dahi sementara dua serpihan besi masih tertusuk di bahagian dadanya.
Yoke Long berkata, dia perlu menjalani pembedahan untuk membuang serpihan besi itu di hospital berkenaan tidak lama lagi.
"Saya sudah serik ke Golok. Kepada rakan-rakan, saya nasihatkan supaya jangan lagi ke sini (Golok) jika tidak ada urusan penting," katanya.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Aini Atan semalam mengesahkan seramai 18 rakyat Malaysia terkena letupan tiga butir bom dengan empat maut manakala 14 lagi cedera.
Katanya, lima mangsa yang masih dirawat di Hospital Sungai Golok ialah Lai Yok Long, 52, Phoo King Kuang, 54, Ling Yee Lung, 28, Wee It Cheng, 61, dan Cheng Yew Mang, 40. Kesemua mereka adalah lelaki.
Dua lagi rakyat Malaysia dirawat di Hospital Yala.
Seorang lagi mangsa yang dirawat di hospital itu dan hanya mahu dikenali sebagai Man, 40, dari Kota Bharu berkata, sebutir bom meletup betul-betul di hadapan restoran dan pusat karaoke miliknya di bandar itu.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Copyright@Segala Catatan Yang Ditulis Dalam Blog Ini Adalah Hakmilik http://phantom1-jomlayan.blogspot.com