Kongsi Di Pesbuk
|
TambahSTESEN Underground London merupakan stesen kereta api bawah tanah tertua di dunia. kapsyen |
JIKA berkunjung ke London, tidak lengkap kunjungan tersebut sekiranya
tidak menaiki kereta api bawah tanah yang dikenali sebagai London
Underground atau The Tube.
Menarik tentang The Underground di kota dengan populasi 7.7 penduduk
ini, sistem laluan kereta api bawah tanah tersebut merupakan jaringan
tertua dan tersibuk di dunia.
Mempunyai 268 stesen di sepanjang 400 kilometer landasan, ia merupakan sistem metro terpanjang di dunia.
Tidak hairanlah, pada tahun 2007 sahaja, lebih satu bilion perjalanan penumpang direkodkan.
Mula dibuka pada tahun 1863, The Underground menyimpan banyak kisah misteri sepanjang 148 tahun ia beroperasi.
Aktiviti paranormal dikatakan berlaku hampir di setiap stesen
sehingga ada stesen yang dikenali sebagai stesen berhantu seperti Hyde
Park Corner berhampiran Taman Hyde, London.
Tanpa wajah
Seperti kebanyakan stesen bawah tanah lain, ramai pengguna pernah
terserempak dengan jelmaan hantu di sini, terutamanya pekerja di stesen
berkenaan.
“Kami pernah melihat bayangan hitam dan jelmaan roh di ruang
penempahan tiket. Ia muncul secara tiba-tiba dan suasana ketika itu
memang menyeramkan.
|
KEADAAN di dalam sebuah daripada koc kereta api bawah tanah di London.
“Pernah juga eskalator berfungsi sendiri sedangkan tidak ada sesiapa
di kawasan tersebut,” ujar pekerja Underground London, Sheila Parker.
Dia mengakui ada beberapa pekerja yang pernah terserempak dengan entiti
menakutkan tidak lagi datang bekerja di situ.
Di Stesen Beantree, lain pula ceritanya. Pada tahun 1992, seorang
pekerja yang sedang bekerja sendirian di tingkat bawah mendengar pintu
pejabatnya berdetar seperti ditiup angin kuat, sedangkan pintu tersebut
mempunyai pemberat di bahagian atas dan akan tertutup secara automatik
apabila dibuka.
Dengan perasaan gementar, dia naik ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku dan mencari rakannya.
Namun, tiada sesiapa di tingkat atas. “Saya rasa seperti
diperhatikan. Apabila saya menoleh ke belakang, saya melihat kelibat
wanita berambut perang tanpa wajah berdiri di muka saya.
“Apabila saya bercerita dengan rakan-rakan sekerja, rupa-rupanya
mereka juga pernah terserempak dengan wanita tanpa wajah itu,” kata
pekerja tersebut.
Hantu berambut perang yang ditemui di Beantree sebenarnya turut ditemui di stesen lain.
Menurut cerita seorang rakyat Malaysia yang pernah menuntut selama
tujuh tahun di Kota London, dia pernah terserempak dengan jelmaan wanita
berambut perang memakai gaun panjang pada waktu malam di stesen
Underground London.
“Saya dan rakan pernah terserempak dengannya di platform Stesen
Aldwych. Menurut cerita orang tempatan, jelmaan wanita tersebut sering
dilihat sama ada oleh penumpang mahupun pekerja pembersih di stesen
berkenaan. Namun, wanita ini berwajah cantik.
TIDAK semua orang berani untuk berada di dalam tren seorang diri pada waktu malam.
Bunuh diri
“Mereka percaya, itu adalah jelamaan roh pelakon teater Royal Strand.
Sebelum ini, stesen ini adalah tempat pementasan teater,” kata Mohd.
Noor Yusuf, 32.
Stesen bawah tanah di jaringan Piccadilly Line, di antara Stesen
Holborn dan Covent Garden ini bagaimanapun ditutup pada tahun 1994 dan
kereta api hanya melintasinya.
Mohd. Noor menambah, tidak jauh dari situ, di antara Tottenham Court
Road dan Holborn di jaringan Central Line, kelibat seorang lelaki
bertopi tinggi dengan sebatang cerut dikatakan sering menghantui stesen
berkenaan.
“Dengar cerita, kelibat lelaki itu mula dilihat sejak tahun 1950-an
lagi. Kata orang, lelaki itu ialah William Terriss yang mati dibunuh di
stesen tersebut pada tahun 1890-an,” katanya.
Selain kelibat lelaki dan wanita, kisah misteri suara tangisan bayi
di bekas Stesen Farringdon di Metropolitan Line juga sering
diperkatakan.
“Suara tangisan menyayat hati itu biasanya kedengaran bergema di
dinding terowong. Katanya ia milik seorang remaja penjual topi yang
terbunuh di dalam terowong ini,” kata Mohd. Noor yang pernah mendengar
cerita bahawa ramai orang menjadikan terowong Underground London sebagai
lokasi untuk membunuh diri.
Jelas Mohd. Noor, jika datang ke London, kalau menaiki kereta api
bawah tanah dan terlihat platform gelap yang tiada manusia di dalamnya,
itu merupakan bekas stesen yang telah ditutup dan dikenali sebagai
stesen hantu.
“Sepanjang 400 kilometer landasan ini, ada lebih kurang 40 stesen hantu dan masing-masing ada cerita di sebaliknya.
“Sejauh mana benar cerita yang disampaikan, saya sendiri kurang pasti,” ujarnya.
Kewujudan aktiviti paranormal yang aktif di kawasan stesen
Underground London memang sudah lama disedari malah ia juga pernah
didokumentarikan dalam The History Channel.
Namun atas fungsinya sebagai nadi pengangkutan utama di kota London, ramai yang tidak mahu terlalu memikirkannya. |
0 ulasan: